STADIUM Nasional Bukit Jalil dijangka menjadi medan penuh dramatik apabila Malaysia berdepan Singapura dalam perlawanan penentuan Kumpulan A Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024  pada Jumaat malam.

Diiringi sorakan ribuan penyokong setia Harimau Malaya, skuad bimbingan Pau Marti Vicente mahu memastikan tiket ke separuh akhir berada dalam genggaman.

Ketua jurulatih Harimau Malaya itu melahirkan keyakinan terhadap pasukan meskipun mengakui pertembungan ini tidak mudah, terutamanya dengan kelebihan Singapura yang hanya memerlukan keputusan seri untuk mara. Namun, Pau menegaskan pasukannya sudah bersedia mengambil risiko demi kemenangan.

“Kami gembira dapat kembali ke Bukit Jalil. Ini adalah peluang terbaik untuk kami mara ke separuh akhir.

“Singapura mungkin lebih selesa kerana mereka hanya perlukan satu mata, tetapi kami akan bermain dengan mentaliti menang dan berharap penyokong dapat memberi tenaga tambahan untuk pasukan,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan hari ini.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau marti Vicente.

Kapten pasukan, Dominic Tan, turut menekankan kepentingan perlawanan ini, menggambarkannya sebagai perlawanan hidup dan mati.

“Ini adalah perlawanan penentuan untuk kedua-dua pasukan. Bermain di laman sendiri memberi kelebihan besar, jadi apa yang penting adalah percaya pada diri sendiri dan berjuang habis-habisan,” ujar Dominic yang dijangka menjadi antara tonggak utama benteng Malaysia malam esok.

Ketika ditanya mengenai ancaman Singapura, Pau Marti pula menyifatkan pasukan lawan sebagai lawan sukar yang sukar diramal.

“Setiap perlawanan dalam kumpulan ini sangat sengit, kecuali perlawanan Thailand lawan Timor-Leste.

“Singapura menunjukkan ketahanan tinggi, terutamanya dalam perlawanan mereka menentang Thailand baru-baru ini dan mereka akan menjadi cabaran besar buat kami,” katanya.

Kapten pasukan Malaysia, Dominic Tan.

Walaupun Malaysia pernah mencatat kemenangan besar 4-1 ke atas Singapura pada edisi 2022, Pau menegaskan situasi kali ini berbeza sama sekali.

“Itu berlaku dua tahun lalu, dan kini pasukan mereka lebih berpengalaman. Apa yang memberi saya lebih keyakinan adalah prestasi semasa pasukan ini serta sokongan hebat penyokong kami esok,” tambahnya.

Di sebalik keyakinan itu, Pau mengakui persiapan pasukan kali ini agak terjejas dengan beberapa isu, termasuk pemain yang terlepas sesi latihan penuh.

“Kami masih belum dapat satu sesi latihan lengkap dengan semua pemain. Hari ini mungkin satu-satunya sesi di mana kami ada semua pemain bersama.

“Jadi, pemilihan kesebelasan utama akan bergantung kepada status kecergasan mereka,” jelasnya.

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau marti Vicente dan Kapten pasukan, Dominic Tan.

Bagi Dominic, isu kewangan yang melanda beberapa kelab dalam liga tempatan juga tidak menggoyahkan fokus pasukan.

“Sebagai pemain profesional, apa pun masalah di luar padang, ia tidak seharusnya menjejaskan prestasi kami. Tugas kami adalah memberikan yang terbaik di atas padang,” katanya

Dominic turut menzahirkan keterujaannya bertemu rakan-rakan dari Singapura pada esok.

“Rivaliti ini memang istimewa. Tetapi di atas padang, persahabatan diketepikan. Fokus kami hanya pada kemenangan.”

Stadium Nasional Bukit jalil bersedia bagi perlawanan pada Jumaat Malam.

Sorakan penyokong Malaysia di Bukit Jalil bakal memainkan peranan penting dalam memberikan suntikan moral kepada Harimau Malaya. Dengan satu misi meraih kemenangan, skuad negara tidak mempunyai ruang untuk kesilapan.

Pau Marti dan anak buahnya sedar cabaran yang menanti, namun yakin sokongan penyokong setia akan menjadi pembakar semangat untuk melangkah ke separuh akhir.

Perlawanan yang dijadualkan bermula jam 9 malam esok ini pasti menjadi detik penuh debaran buat penyokong kedua-dua pasukan, dan Malaysia kini hanya selangkah lagi untuk meneruskan perjalanan mereka dalam kempen kali ini.