PERTAHANAN muda negara, Azam Azmi Murad tidak terlalu memikirkan tentang mana-mana posisi yang digalasnya sama ada bersama skuad ‘senior’ Harimau Malaya atau pun bawah 23 (B-23).
Namun, dirinya meletakkan fokus yang lebih terhadap pasukan utama Harimau Malaya kerana terdapat saingan yang lebih kompetitif selain dapat mengasah lagi bakat dirinya.
Tambahan lagi, skuad kebangsaan bakal menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 iaitu menentang Oman pada 22 Mac sekaligus membuatkan Azam ingin merebut peluang dalam kesebelasan utama.
“Saya akan lakukan yang terbaik tidak kira di mana jua saya akan bermain.”

Azam sedia menggalas tanggungjawab bersama skuad kebangsaan.
“Terpulang kepada jurulatih untuk memutuskan saya ke skuad senior atau B-23. Tetapi sasaran saya tahun ini adalah pergi Oman untuk bantu Harimau Malaya layak ke peringkat seterusnya.
“Saya juga ada sasaran dalam skuad B-23 di Piala Asia nanti. Sekarang saya lebih memilih ke skuad senior kerana mereka bermain dahulu, kalau saya terpilih ke skuad senior saya pergi sana,” ujar pemain berusia 22 tahun itu.
Sementara itu, pemain kelahiran Pulau Pinang ini turut mengakui bahawa berlatih dan bermain pada bulan puasa sememangnya memberi satu cabaran buatnya.
Walaupun sebelum ini dirinya pernah menghadapi situasi yang sama, namun ia tetap memberikan satu kelainan selain memiliki intensiti permainan yang tinggi.