PENYERANG Selangor FC Bawah-19 (B-19), Harry Danish Haizon menegaskan jaringan yang berjaya dihasilkan adalah berpunca daripada kata-kata azimat jurulatihnya, Firdaus Aziz yang sentiasa menasihatinya untuk percaya kepada kemampuan diri sendiri dan pasukan.

Bagi menghadapi aksi timbal balik Piala Belia menentang Sri Pahang FC Bawah 19 (B-19) di Temerloh, Harry mahukan kesemua pemain  kekal fokus dan terus mengerah keringat sehingga wisel penamat dibunyikan.

Dia juga menzahirkan ucapan terima kasih buat penyokong pasukan Selangor FC B-19 yang hadir memberikan sokongan sewaktu Gergasi Merah di ambang penyingkiran dan ketika mereka berjaya melakar kemenangan.

Kesebelasan utama Selangor FC B-19 pada aksi final 1 Piala Belia 2022 di Stadium UITM, Shah Alam.

“Jurulatih hanya cakap percaya pada diri sendiri dan percaya pada pasukan. Dia tiada cakap pun kita kena buat itu, kena buat ini. Dia hanya cakap pemain perlu percaya yang kita boleh buat dan kita akan dapat.

“Apa yang penting adalah, kita harus kekal fokus dan buat yang terbaik sehingga hendak berjalan pun tidak boleh. Secara jujur saya yakin kita dapat bermain dan mengatasi mereka di Temerloh.

Firdaus Aziz merupakan individu penting dalam kejayaan pasukan tersebut mara sehingga ke peringkat akhir Piala Belia 2022.

“Terima kasih kerana menyokong kami meskipun pusingan pertama kita agak sukar kerana hampir satu pasukan kena Covid-19. Agak sukar kerana kita 10 hari tanpa latihan, kemudian perlahan-lahan, dapatkan rentak semua,” kongsinya bersama Flash Sukan.

Jaringan Harry Danish tersebut sedikit sebanyak mampu mengubati luka kem senior bola sepak Selangor FC yang terus mempamerkan aksi longlai dalam saingan Liga Super 2022 apabila terperosok ke tangga kesembilan liga.