PASUKAN PT Athletic FC tewas dengan agregat 6-0 kepada Penang FC dalam aksi Piala Cabaran, namun jurulatih mereka, Nazrulerwan Makmor, tetap melihat perjalanan pasukan ini sebagai satu kejayaan yang berharga.
Nazrulerwan mengakui bahawa walaupun keputusan tidak memihak kepada mereka, pencapaian PT Athletic FC dalam saingan Piala Cabaran ini adalah satu pengalaman berharga yang bakal memberi manfaat kepada perkembangan pasukan dan komuniti Putrajaya.
“Alhamdulillah, kita akhirnya sampai di sini jadi pertama sekali, ini adalah peluang untuk mendedahkan pasukan kami kerana ini adalah percubaan pertama kami dalam Liga A1.
“Kemudian kita layak ke Piala Malaysia, dan seterusnya bertanding dalam Piala Cabaran jadi ini satu pencapaian yang bagus untuk komuniti Putrajaya.
“Sekurang-kurangnya, mereka tahu Putrajaya mempunyai pasukan yang boleh diketengahkan jadi kita fokus untuk liga selepas ini,” kata Nazrulerwan.
Ketika ditanya mengenai perbezaan persembahan pasukan dalam dua perlawanan menentang Penang FC, Nazrulerwan menyatakan bahawa dia berpuas hati dengan kedua-dua aksi tersebut, namun tidak menafikan terdapat beberapa kesilapan teknikal yang perlu diperbaiki.
“Jika kita lihat, kedua-dua perlawanan, saya berpuas hati dengan usaha yang ditunjukkan oleh pemain.
“Tapi hari ini, saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana semua orang boleh melihat apa yang berlaku dan saya tidak mahu menyalahkan dua gol yang diberikan.
“Mungkin ada kesilapan teknikal, tetapi kadang-kadang kita perlu menerima hakikat bahawa itulah realiti dalam bola sepak,” tambahnya.
Walaupun tewas dalam Piala Cabaran, PT Athletic FC kini berdepan dengan tugas besar dalam memastikan pasukan bersedia menghadapi saingan liga selepas ini.
Nazrulerwan percaya bahawa pengalaman ini akan menjadi batu loncatan untuk pasukan terus berkembang dan mencapai kejayaan pada masa hadapan.