PASUKAN Sabah FC berjaya melangkah ke separuh akhir Unifi Piala Malaysia 2024 selepas mengekalkan kelebihan agregat 1-0 ke atas Kuching City FC dalam pertembungan suku akhir kedua pada isnin.

Walaupun berdepan dengan tentangan sengit dari pasukan pelawat, skuad kendalian Martin Stano tetap berjaya bertahan dengan cemerlang dan mara ke pentas separuh akhir untuk berhadapan Sri Pahang FC.

Aksi di Stadium Likas pada Isnin lalu menyaksikan kedua-dua pasukan bermain dengan penuh intensiti. Sabah dan Kuching City berbalas serangan pada separuh masa pertama, namun Sabah sedikit hilang fokus pada awal perlawanan dan terpaksa berhadapan dengan cabaran hebat daripada pasukan pelawat.

Walau bagaimanapun, Stano memuji semangat juang pemain-pemainnya yang bangkit semula selepas 20 minit permainan dan berjaya mengawal rentak permainan.

“Pada separuh masa pertama, permainan agak terbuka. Kedua-dua pasukan mencipta peluang, tetapi kami sedikit hilang fokus. Kuching City berjaya mengambil kesempatan atas kekurangan kami.

“Namun, selepas itu, kami bangkit dan mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol,” kata Stano selepas perlawanan.

Biarpun tidak menjaringkan gol dalam pertembungan suku akhir kedua ini, Sabah tetap berjaya mempertahankan kelebihan satu gol yang diperoleh pada suku akhir pertama, sekali gus menempah tiket ke separuh akhir.

Stano turut menekankan bahawa pertembungan ini adalah bukti kepada potensi besar yang ada dalam pasukan Sabah, meskipun masih banyak yang perlu dilakukan.

“Saya menggantikan Datuk Ong Kim Swee dan saya berhutang budi dengan beliau. Beliau adalah jurulatih yang membina pasukan ini tiga tahun lalu.

“Kami hanya meneruskan kerja yang telah dimulakan. Kini, pasukan ini mempunyai potensi besar, tetapi kami masih belum mencapai apa-apa. Kami bekerja keras untuk pergi sejauh mungkin dalam Piala Malaysia ini,” tambah Stano.

Sabah FC kini bakal berhadapan Sri Pahang FC pada 18 Januari 2025 dalam aksi separuh akhir pertama. Sementara itu, pasukan Terengganu FC akan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 17 Januari 2025 dalam satu lagi pertembungan separuh akhir yang pastinya menjanjikan aksi sengit dan penuh dramatik.

Sabah FC, dengan semangat juang yang ditunjukkan semalam, akan berusaha keras untuk mencapai kejayaan lebih besar dalam kempen Piala Malaysia kali ini.