JUARA dunia, Perancis mara melangkah ke perlawanan akhir selepas menamatkan perjuangan Maghribi yang kurang pengalaman di peringkat tertinggi dengan kemenangan sensasi 2-0 di Stadium Al Bayt, sebentar tadi.
Gol dilakar oleh Theo Hernandez dan Randal Kolo Muani pada setiap babak cukup membawa Les Bles membuat temujanji bersama Argentina untuk penentuan kejuaraan pada Ahad malam nanti.
Dalam perlawanan itu, Perancis segera mengasak sejak minit awal dan mendapat gol pada minit kelima menerusi Hernandez. Bermula dari serangan dari sebelah kanan yang dibina oleh Antoine Griezmann, bola kemudiannya dihantar ke dalam kotak penalti.
Kylian Mbappe cuba merembat tetapi bola terkena pemain Maghribi, dan ia menuju ke arah Theo yang sambil melompat, menendang bola gaya akrobatik melepasi cabaran Yassine Bounou.
Gol itu menandakan pasukan Maghribi akhirnya dibolosi buat pertama kali oleh pemain lawan dalam kejohanan ini.
Tertekan gol awal, Singa Atlas cuba bangkit mencari jaringan penyamaan. Azz-Eddine Ounahi melakukan rembatan di hadapan kotak penalti ke sudut kiri gawang, tetapi Hugo Lloris pantas menepisnya.
Perancis mula menyerang semula selepas 10 minit dan hampir menjaringkan gol kedua pada minit ke-17 apabila rembatan Giroud dari sebelah kiri terkena tiang.
Pada minit ke-21, Maghribi terpaksa mengeluarkan kapten dan bek tengah, Romain Saiss dan digantikan oleh Selim Amallah. Saiss nampaknya tidak begitu cergas akibat kecederaan paha yang dialaminya ketika menentang Portugal.
Perancis mendapat peluang lagi pada minit ke-36 apabila bola hantaran Aurelien Tchouameni dikejar Mbappe ke dalam kotak penalti. Namun, hantaran Mbappe segera diselamatkan Achraf Hakimi.
Maghribi menekan Perancis pada lima minit terakhir perlawanan dan memaksa barisan belakang lawan bekerja keras. Maghribi hampir mendapat gol pada minit ke-45 dari sepakan sudut.
Bola menuju ke arah Jawad El Yamiq, dan melakukan sepakan akrobatik, namun mengenai tiang gol.
⚽️ GOAL! Randal Kolo Muani
🇫🇷 Kolo Muani makes it 2-0 to France#LesBleus | #FRAMAR | #FIFAWorldCup
pic.twitter.com/1QY5HiZZLT— Fast Footy Goals (@fast_footygoals) December 14, 2022
Pada separuh masa kedua, Perancis menggandakan kelebihan pada minit ke-82.
Mbappe berada di tengah-tengah kepungan pertahanan Maghribi. Namun, dia bijak dan memberikan bola kepada Randal Kolo Muani yang berdiri di hadapan gawang dapat menyambarnya menjadikan gol Perancis untuk menang 2-0 !
Perancis akan mencabar Argentina dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2022 dan berpeluang mempertahankan gelaran dunia pada 18 Disember nanti.
Manakala, Maghribi yang mengalami kekalahan pertama dalam kejohanan ini, berjuang untuk tempat ketiga menentang Croatia pada Sabtu.
France are through to the final! 👊@adidasfootball | #FIFAWorldCup
— FIFA World Cup (@FIFAWorldCup) December 14, 2022
Barisan pemain
Perancis: Hugo Lloris; Jules Kounde, Raphael Varane, Ibrahima Konate, Theo Hernandez; Aurelien Tchouameni, Youssouf Fofana; Ousmane Dembele, Antoine Griezmann, Kylian Mbappe; Olivier Giroud.
Maghribi: Yassine Bounou; Achraf Hakimi, Jawad El Yamiq, Achraf Dari, Romain Saiss (Selim Amallah 21′), Noussair Mazraoui; Hakim Ziyech, Azz-Eddine Ounahi, Sofyan Amrabat, Sofiane Boufal; Youssef En-Nesyri.