SEMANGAT melawan sebagaimana ketika menentang Sepanyol dituntut dari semua pemain dalam usaha skuad hoki kebangsaan menamatkan saingan Piala Dunia 2023, di kedudukan terbaik, kesembilan.

Ketua Jurulatih A.Arulselvaraj berkata, kepercayaan diri setiap pemain penting untuk turun dengan aksi terbaik menentang Afrika Selatan pada perlawanan penentuan 9/16.

“Kepercayaan diri pemain itu penting untuk mencapai kemenangan esok dan saya mahu mereka memberikan semua yang mereka ada seperti menentang Sepanyol.

“Keyakinan dalam diri pemain juga menjadi senjata utama untuk pemian bangkit dari kekecewaan dek kekalahan kepada Sepanyol,” kata Arul.

Semangat dan kepercayaan diri sahaja boleh membawa kepada kemenagan, kata Ketua Jurulatih A Arulselaraj. – FIH/World Sports Pic

Menurutnya, skuad negara pagi tadi menjalani latihan seperti biasa namun latihan lebih menjurus kepada sistem serangan.

“Kita tekankan sistem serangan yang akan digunakan dan bagaimana untuk menekan pasukan lawan.

“Penekanan juga diberi kepada final 3rd… iaitu circle penetration di kawasan lawan. Selain itu, fokus juga terarah kepada pukulan sudut penalti serta penalti shoot out.”

Afrika Selatan tampil ke Piala Dunia dengan wajah berbeza berbanding ketika menyertai Piala Sultan Azlan Shah.

Meskipun Speedy Tigers pernah menewaskan Afrika Selatan 7-2 pada pertemuan terakhir di Piala Sultan Azlan Shah, November tahun lalu, Arul berkata rekod itu tidak boleh dijadikan sandaran lagi.

“Ini adalah Piala Dunia, kejohanan empat tahun sekali dan pastinya mental pemain yang datang ke sini, berbeza. Malah saya lihat, barisan pemain mereka juga berbeza, menggunakan khidmat penjaga gol berbeza, jadi keputusan 7-2 lalu tidak boleh dijadikan ukuran,” kata Arul lagi.

Pemain Afrika Selatan berjersi putih Ikiri) ketika pasukan itu menentang Australia di peringkat kumpulan A yang turut dianggotai Argentina dan Perancis. -FIH/World Sports Pic

Selain apa yang diutarakan Arul, Afrika Selatan juga memiliki tempoh rehat yang panjang kerana tidak layak beraksi pada perlawanan cross over dan hanya menunggu lawan yang teas daripada saingan itu.

Malah rekod pertemua tunggal di pentas Piala Dunia 2014, Afrika Selatan mengatasi skuad negara dengan keputusan 6-2.

Skuad negara akan menentang Afrika Selatan di Stadium Birsa Munda, Rourkela, jam 2 petang esok,.