PASUKAN hoki 5 sebelah (5’s) wanita negara, membuka kempen Piala Dunia 5’s yang julung kali dianjurkan, dengan kemenangan bergaya ke atas tuan rumah Oman, apabila mencapai kemenangan 10-0.
Perlawanan pembukaan kumpulan A itu menyaksikan pasukan negara, memimpin carta kumpulan seketika, sementara menantikan perlawanan Belanda menentang Fiji.
Kapten, Nur Syafiqah Mohd Zain berkata, kemenangan besar itu pasti memberikan semangat buat skuad negara yang akan berdepan lawan sukar, iaitu Belanda pada perlawanan kedua kumpulan A, jam 8.30 malam ini.
“Keputusan ini sudah tentu memberikan keyakinan kepada kami untuk perlawanan seterusnya, dan saya yakin kami akan tampil lebih kuat menentang Belanda,” kata Nur Syafiqah.
Pada perlawanan itu, Zati Alyani Muhamad Zubir meledak empat gol, Nur Zafirah Aziz tiga gol, Qhairunisya Mohd Zanili dua gol dan Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri satu gol.
Ketua jurulatih Nabil Fiqri Mohd Noor menyifatkan kemenangan 10-0 itu sebagai satu mesej kepada pasukan lain bahawa Malaysia bersedia menghadapi kejohanan.
“Jaringan 10 gol ini tentunya bukan satu kelebihan tetapi ia cukup untuk memotivasikan pasukan dan juga mengingatkan pasukan lain bahawa kita hadir untuk kemenangan.
“Malam ini berdepan Belanda, jika menang, satu lagi motivasi yang boleh dibawa ke peringkat seterusnya,” kat aNabil, yang juga bekas pemain kebangsaan.
Piala Dunia 5’s Wanita berlangsung di Muscat, Oman selama tiga hari bermula hari ini, bakal merakam sejarah baharu sukan hoki apabila juara edisi sulung ini akan diputuskan Sabtu ini.