KELAB Jepun, Urawa Red Diamonds mengenepikan cabaran Leon dalam Piala Dunia Kelab Fifa untuk menempah pertemuan separuh akhir dengan Manchester City.

Penyerang Belanda, Alex Schalk menjaringkan gol kemenangan untuk juara Asia itu, lima minit selepas masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua.

Kapten Leon, William Tesillo dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua pada lewat permainan untuk pasukan Mexico itu, yang hilang rentak selepas permulaan yang baik.

Urawa akan menentang juara Eropah, Manchester City pada awal Rabu pagi.

Sementara itu, juara Afrika, Al Ahly menang 3-1 menentang pasukan Al-Ittihad yang dipenuhi bintang termasuk Karim Benzema, N’Golo Kante dan Fabinho. Mereka kini akan menentang Fluminense dari Brazil pada satu lagi separuh akhir, pada Selasa.

Benzema terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan untuk pasukan Liga Pro Saudi Al-Ittihad sebelum rehat apabila penaltinya diselamatkan oleh Mohamed El Shenawy, selepas sepakan penalti Ali Maaloul meletakkan Al Ahly dari Mesir di depan.

Gol separuh masa kedua daripada Hussein El Shahat dan Emam Ashour memberikan Al Ahly pendahuluan 3-0.