PENGADIL Sam Allison bakal melakar sejarah dengan menjadi pengadil pertama berkulit gelap dalam Liga Perdana Inggeris selepas 15 tahun.

Allison akan mengadili perlawanan Sheffield United vs Luton Town pada Boxing Day di Bramall Lane ketika ketua PGMOL, Howard Webb, memenuhi janjinya untuk meluaskan kepelbagaian pengadilan dalam Liga Perdana.

Sehingga tiga tahun yang lalu, pengadil berusia 42 tahun itu merupakan satu-satunya pengadil berkulit gelap dalam empat divisyen tertinggi di Inggeris dan yang pertama sejak Uriah Rennie pada tahun 2008.

Hal ini berlaku apabila hampir 300 pengadil di England, jumlah pegawai bukan berkulit putih masih dalam angka tunggal.

Pelantikan terkini Allison menjadikannya pengadil berkulit gelap kedua yang mengendalikan perlawanan Liga Perdana selepas Rennie.

BAMRef (kumpulan pengadil berkulit gelap, Asia dan campuran) mengeluarkan kenyataan berikut: “Kami mengalu-alukan pelantikan ini. Ia merupakan langkah seterusnya ke arah yang betul terhadap pengadil dalam mencerminkan masyarakat dan pemain dalam bola sepak.”

“Ia juga merupakan hasil kerja keras bertahun-tahun oleh ahli BAMRef. Kami berharap dapat bekerjasama dengan Howard Webb untuk mengenal pasti dan memajukan lebih ramai pegawai berkulit gelap ke Liga Perdana,” tambah mereka.

Namun, pelantikan Allison bukan satu-satunya yang mengukir sejarah PGMOL kerana Rebecca Welch juga dilantik menjadi pengadil wanita pertama yang mengendalikan perlawanan Liga Perdana.

Welch,40, akan mencipta sejarah selepas disahkan sebagai pengadil bagi perlawanan Fulham menentang Burnley pada 23 Disember di Craven Cottage.

Dia juga sebelum ini menjadi wanita pertama yang menjadi pengadil perlawanan Kejuaraan Lelaki pada Januari.

Sejak mula menjadi pengadil pada tahun 2010, dia telah mengendalikan perlawanan dalam Liga Super Wanita, Liga Juara-Juara Wanita, dan juga Liga Bola Sepak Inggeris (EFL).

Kemudian pada November, dia mencipta sejarah sekali lagi sebagai wanita pertama yang terlibat dalam perlawanan Liga Perdana dalam kapasiti pengadil.