BAHANG final Piala Sultan Azlan Shah semakin hangat dan tiba masanya buat Speedy Tigers melaksanakan segala percaturan yang dirancang barisan kejurulatihan untuk berdepan Korea Selatan.
Pasukan lawan yang menjadi penghalang skuad kebangsaan untuk menjuarai Piala Asia itu sememangnya diakui memiliki kepantasan dan bijak mendapatkan gol.
Kapten Muhammad Najmi Farizal Jazlan berkata, pemain bersama barisan jurulatih sudah menganalisa video perlawanan membabitkan Korea Selatan dan mendapat input berharga.
“Bagus juga kita kalah awal pada perlawanan pertama kerana ia menyemarakkan lagi semangat kami untuk membalas dendam ke atas mereka. Kita tahu mereka bermain pantas, ‘counter attack’ mereka juga laju, jadi kami akan gunakan ‘counter defend’ untuk mematahkannya. Kami perlu berkerja lebih kuat mengejar serangan balas .
“Kami (Malaysia) juga banyak peningkatan sejak tewas 0-3 kepada Korea Selatan… kita doakan yang terbaik untuk final nanti (malam ini),” kata Najmi yang memiliki kaps ke-96 bersama skuad senior.
Pemain berusia 27 tahun itu berkata, secara fizikal, pemain Korea Selatan dan Malaysia sama sahaja dan kedua-dua pasukan mempunyai tempoh masa dua hari sebelum ke final.
“Sejak kalah kepada mereka, kami berazam kami perlu repeat (lawan Korea Selatan). Ini maruah kita apa lagi bermain sebagai tuan rumah, mesti menang. Kami mesti mengambil peluang membuat jaringan pukulan sudut penalti, jaringkan gol padang dan kami akan juara malam ini. Saya rasa hal ini sudah ada dalam hati kami semua,” kata Najmi.
ARTIKEL BERKAITAN:
Piala Sultan Azlan Shah: Flicker Speedy Tigers mahu terus buru jaringan
Final Sultan Azlan Shah: Speedy Tiger sedia 100 peratus ‘langgar’ Korea Selatan
Najmi kali pertama diberi tanggungjawab memimpin skuad kebangsaan dengan ketiadaan Marhan Abdul Jalil yang mengalami kecederaan patah jari kaki, ketika menyertai misi persahabatan antarabangsa di Belgium bulan lalu.
Pada perlawanan pertama Piala Sultan Azlan Shah, Malaysia tewas kepada Korea Selatan 0-3 yang menyaksikan pasukan lawan memperoleh semua gol menerusi pukulan sudut penalti yang dijaringkan Jang Jonghyun dan Kim Hyeonhong.
Pada saingan Piala Asia di Jakarta, Mei/Jun lalu, skuad negara mengatasi Korea Selatan 5-4 dalam pusingan awal, namun kalah 1-2 pada final.