KETUA Jurulatih Penang FC, Datuk Zainal Abidin Hassan mengakui beberapa kesilapan individu dari para pemainnya mudah dihukum JDT untuk berpesta gol mencatat kemenangan 6-1 dalam aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim.
Zainal juga tidak berselindung mengatakan bahawa JDT adalah pasukan yang lebih baik dan menganggap kekalahan ini adalah kerana mereka memberikan keyakinan kepada pemain lawan.
“Saya tidak dapat menafikan kekuatan lawan. Kita bermula dengan baik hingga minit ke-20 namun selepas itu banyak melakukan kesilapan dan terus dihukum lawan.

Datuk Zainal Abidin Hassan
“Pemain perlu lebih bersedia terutamanya apabila berjumpa lawan seperti yang JDT. Jangan lakukan kesilapan mudah dan malam ini tiga hingga empat gol berpunca daripada kesilapan sendiri.”
“Bahagian tengah agak baik terutama pada 30 minit pertama namun selepas itu hilang tumpuan dan sekali lagi dikukum pada babak kedua.
“Banyak kesilapan terutama dari hantaran yang tidak sampai dan peluang ini diambil oleh lawan untuk menjaringkan gol,” kata Zainal dalam sidang media selepas perlawanan.
Beliau juga mengakui bahawa pemain importnya, Lucas Silva keseorangan tanpa bantuan dari rakan sepasukan yang lambat bertindak dan memilih Jafri Chew sebagai pertahanan kerana mempunyai fizikal yang baik.
“Kami melakukan pertukaran dalam benteng berempat. Jafri dilihat sesuai di kedudukan baharunya kerana dia mempunyai fizikal yang baik dan dia bermain baik secara keseluruhan,” tambahnya.
Selepas tersingkir dari saingan Piala FA, Penang FC kini kembali fokus dalam saingan Liga Super tetapi masih banyak yang perlu dilakukan terutama memperbaiki di bahagian tengah dan mengurangkan kelalaian di bahagian pertahanan.