SELEPAS beraksi cemerlang bersama skuad kebangsaan, Arif Aiman Hanapi bagaikan tidak boleh dihentikan apabila meledak hatrik sekaligus membawa Johor Darul Ta’zim (JDT) ke perlawanan akhir Piala FA buat kali kedua berturut-turut.

Hatrik terpantas dalam sejarah Piala FA itu dicipta pada babak pertama perlawanan yang menyaksikan JDT menewaskan Selangor FC 4-0 dalam aksi separuh akhir di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Beraksi di hadapan lebih 32 ribu penyokong, JDT melancarkan gerakan berbahaya ke gawang Gergasi Merah dengan sesekali Selangor juga cuba menguji gawang JDT yang dikawal Syihan Hazmi.

Malam gemilang Arif Aiman bermula pada minit ke-20 apabila menyempurnakan hantaran Fernando Forestieri hasil serangan balas pantas yang menewaskan Khairul Azhan yang membangkitkan semangat para pemain Harimau Selatan.

Dua gol pantas pada minit ke-32 dan 38 melengkapkan malam gemilang pemain berusia 21 tahun itu sekaligus menjadikan gol kesembilan peribadinya dalam semua pertandingan musim ini bersama JDT.

Anak-anak buah Esteban Solari tidak menurunkan tempo permainan mereka pada babak kedua dan hanya memerlukan dua minit untuk menambah derita Selangor menerusi jaringan Fernando Forestieri yang meneruskan momentum jaringannya kepada 16 gol musim ini.

Tidak banyak yang dapat dilakukan Selangor meskipun Tan Cheng Hoe melakukan beberapa pertukaran termasuk memasukkan Brendan Gan yang kembali cergas selepas mengalami kecederaan.

Kedudukan 4-0 kekal hingga tamat perlawanan dan membawa JDT sekali lagi ke pentas final untuk bertemu Kuala Lumpur City FC sekaligus berpeluang mempertahankan kejuaraan.