KEKENTALAN strategi yang dipamerkan Sri Pahang FC pada babak pertama tidak berjaya mengekang Johor Darul Ta’zim (JDT) dari meraih mata penuh selepas tewas 1-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Sri Pahang yang turun sebagai tuan rumah turun dengan semangat membara apabila mempunyai padang latihan yang sesuai setelah sekian lama mengalami masalah ketiadaan padang selain kembalinya Stefano Brundo di barisan pertahanan.
Kehadiran Brundo nyata membantu Tok Gajah mengekang asakan Harimau Selatan namun tidak berjaya mengekalkan disipilin bertahan yang sama pada babak kedua sekaligus menyaksikan JDT menamatkan tahun 2024 dengan bergaya.
Hasil sepakan sudut Juan Muniz, bola tertampan Adam Nor Azlin ke gawang sendiri untuk memberikan kelebihan buat JDT hanya selepas 3 minit babak kedua bersambung sekaligus meningkatkan semangat anak-anak buah Hector Bidoglio untuk terus mencari gol.
Muniz sekali lagi cemerlang apabila hantaran lolosnya menemui Bergson Da Silva yang merembat masuk gol kedua JDT dengan hampir 6,000 penyokong yang hadir mula menjangkakan pesta gol akan berlaku.
Namun David Rowley menidakkan anggapan itu apabila menjaringkan gol pertama Sri Pahang seminit selepas itu untuk merapatkan kedudukan namun selepas itu skuad kendalian Fandi Ahmad itu tidak mampu mencipta sebarang peluang berbahaya.
JDT lebih banyak mengasak dengan Arif Aiman Hanapi sering mengucar-kacirkan pertahanan Sri Pahang sebelum dia berjaya mendapatkan penalti pada minit akhir permainan untuk mudah disempurnakan Bergson untuk gol ke-21 peribadinya dalam saingan Liga Super.
Kemenangan itu mengekalkan JDT di tangga teratas liga dengan 46 mata selepas berakhir 16 perlawanan dan kini akan memulakan tahun baharu 2025 berkelebihan 11 mata dari pasukan tangga kedua, Selangor FC.
Sri Pahang pula turun ke tangga kesembilan dengan 15 mata tetapi kekurangan dua perlawanan berbanding pasukan-pasukan lain yang berada di tangga kelima hingga kelapan.