PENJAGA Gol Sabah FC, Damien Lim Chien Kai tidak menafikan The Rhinos bakal berdepan kesukaran ketika bertandang menjelang aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim esok malam.
“Kita tahu semua pasukan apabila bermain di Stadium Sultan Ibrahim, ia sememangnya satu kerja yang amat berat. Kita lawan pasukan terbaik di Malaysia dan terbaik di Asia Tenggara.
“Kalau boleh kita cuba untuk tidak bolos. Tetapi jikalau kita bolos, diharapkan pasukan jangan mengalah dan tetap melawan dan mencari gol perlahan-lahan,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Mengimbau perlawanan separuh akhir pertama, Damien menjelaskan keadaan tegang tersebut berpunca daripada keputusan pengadil yang tersilap dalam mengawal tempo permainan.
Biarpun begitu, dia mengakui permusuhan tersebut hanya berlaku di atas padang dan selepas perlawanan tamat segala-galanya kembali seperti sediakala.
“Bagi saya, kita sebagai pemain Sabah Johor, kita kawan sahaja. Cuma, emosi kadangkala menguasai kita. Ketegangan itu memang ada, dengan penyokong penuh. Harapan tinggi, tetapi kadangkala kita tidak boleh lakukan apa-apa.
“Sebagai contoh, pengadil tersilap mengawal keadaan, bukan dia tidak bagus tetapi kadang-kadang dia tidak pandai hendak mengawal permainan itu, ia menyebabkan ada emosi panas.

“Tetapi apa -apapun yang berlaku di dalam padang, kekal di padang. Di luar, kita kawan baik. Dari satu sudut, memang bagus sebenarnya sebab kedua-dua pasukan bermain dengan intensiti dan hype yang tinggi.
“Saya rasa ia bagus tetapi ada gaduh-gaduh sedikit ini mungkin mengacau atau tidak berapa sedap dipandang penyokong, tetapi permainan separuh akhir memang sepatutnya berada pada intensiti sepanas ini,” katanya.
Melihat kepada skor semasa, Damien tetap yakin Sabah FC berpeluang mara ke pentas akhir meskipun mengakui ia merupakan perjalanan yang berliku.
” InshaAllah, kalau ada rezeki. Amin. Rezeki tidak pernah salah alamat. Kalau ada rezeki, kita mungkin ke final.

“Jika rezeki menyebelahi kita, kita akan ke final tetapi memang ia sukar, tetapi kebarangkalian 0.001 itu tidak mustahil dan mampu dilakukan,” jelasnya.
Sementara itu, Damien turut bersedia membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan andai ditawarkan jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon untuk menghadapi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.
“Saya bersedia, sangat-sangat bersedia. Saya juga ada impian untuk memakai baju kebangsaan untuk pasukan senior kebangsaan. Ia satu penghargaan yang sangat bermakna untuk dipilih mewakili skuad kebangsaan,”kongsinya.