PERTAHANAN Selangor FC, Richmond Tetteh Ankrah sudah menjangkakan bahawa Selangor FC mungkin akan sekali lagi memperoleh gol melalui set pieces menjelang aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).

Jelasnya, dia langsung tidak terkejut apabila gol tersebut berjaya dijaringkan kerana Gergasi Merah telah menjalani latihan extra dan intensif bersama jurulatih, Tan Cheng Hoe terutama dalam usaha memanfaatkan setiap set pieces yang dimiliki.

Buktinya, dia berjaya menjaringkan satu gol menerusi tandukan dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

 

“Saya sudah jangka dapat menjaringkan gol. Kuncinya adalah kerja keras. Saya gembira kerana dapat menjaringkan gol. Terutama menjaringkan gol di peringkat separuh akhir.

“Saya tidak terkejut apabila Selangor berjaya menjaringkan tiga gol menerusi set pieces kerana kita melakukan latihan yang lebih terutama untuk melengkapkan set pieces,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Bagaimanapun, pemain yang diserap dari Selangor FC II itu tetap menganggap Sang Penyu adalah sebuah pasukan yang baik terutama apabila beraksi di laman sendiri di hadapan ribuan penyokong mereka.

“Terengganu adalah pasukan yang baik. Mereka bermain dengan baik. Dia akan menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri.

” Tetapi kita telah menjaringkan tiga gol. Ia jelas telah menaikkan keyakinan kita. Kita hanya harapkan kita akan dapat pamerkan aksi yang sama di Terengganu dan layak ke perlawanan akhir,” katanya.