PERTEMBUNGAN Borneo Derby antara Kuching City FC bertemu Sabah FC berlangsung sengit apabila kedua-dua pasukan mempamerkan corak serangan bertali arus ke kubu pasukan masing-masing dengan keputusan berpihak kepada Sabah FC, 1-0 di Stadium Negeri.
Baddrol Bakhtiar muncul peledak tunggal apabila berjaya menyempurnakan bola muntah hasil cubaan Farhan Roslan yang ditepis penjaga gol Kuching City FC menuju penghujung saingan perlawanan.
Aksi pada separuh masa pertama bermula rancak apabila pasukan Kuching City FC terlebih dahulu memiliki peluang keemasan menerusi sepakan percuma Alif Hassan pada minit kelima permainan namun berjaya ditumbuk keluar penjaga gawang, Shaiful Wazizi Mohamad.
Minit ke -10, penyerang versatil Kuching City FC, Alif Hassan sekali lagi mengundang kegusaran buat kem Sabah FC apabila dia berjaya menggelecek melepasi Dominic Tan namun kedudukannya ke arah kiri pintu gol berjaya ditepis keluar Shaiful Wazizi Mohamad.
Manakala, pelawat Sabah FC juga memiliki beberapa peluang keemasan menerusi Taiki Kagayama menerusi satu rembatan deras dari luar kotak penalti pada minit ke – 11 namun berjaya ditangkap kemas penjaga gawang Kuching City FC.
Peluang terbaik sekali lagi hadir apabila hantaran pendek yang dimulakan Stuart Wilkin kepada Badrol Bakhtiar gagal disambut kemas Irfan Fazail apabila rembatannya sekadar singgah di atas palang gol tuan rumah.
Aksi seimbang terus ditampilkan kedua-dua pasukan namun sedikit kealpaan benteng pertahanan Kuching City FC dihukum Baddrol Bakhtiar apabila berjaya mencuri satu kelebihan gol untuk dibawa ke Likas Jumaat ini.