FAISAL Halim, Khuzaimi Piee dan Syihan Hazmi antara tiga pemain yang menjadi buruan pasukan bagi memperkuatkan musim 2023.
Selangor FC menjadi destinasi pilihan Faisal Halim dan juga Khuzaimi selepas Gergasi Merah Kuning itu secara rasminya mengumumkan dua pemain itu yang menjadi rebutan beberapa kelab dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sah milik mereka.
Persoalannya ketika ini kemanakah destinasi pilihan Syihan yang merupakan penjaga gawang utama Harimau Malaya yang bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan penalti dalam kejohanan Piala AFF Mitsubishi berdepan Myanmar.
Walaupun Syihan dikatakan bakal bersama rakan sepasukan Khuzaimi menyertai skuad bimbingan Tan Cheng Hoe namun wajah pemain berkenaan tidak berada dalam laman rasmi Selangor FC sebagaimana Faisal dan Khuzaimie.

Kegagalan membawa masuk Syihan menyaksikan Selangor FC pastinya akan menaruh sepenuh kepercayaan terhadap Khairulazhan Khalid dań Samuel Somerville yang mula kembali beraksi cemerlang dibawah Cheng Hoe.
Bekas penjaga gawang Negeri Sembilan FC ini juga hangat dikaitkan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) namun pada sesi bersama penyokong, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini mengatakan dia tidak mengenali pemain kelahiran Kelantan itu.
Ditanya mengenai khabar angin bahawa JDT sudah menandatangani penjaga gawang Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Tunku Ismail secara berseloroh mengatakan tidak mengenali pemain terbabit.
“Siapa Syihan. Saya tidak kenal,” kata Tunku Ismail secara berseloroh sebelum beredar pada sidang media selepas perlawanan persahabatan antarabangsa antara JDT dan Borussia Dortmund di Stadium Sultan Ibrahim , 29 November lalu.

Syihan (kanan) merupakan penjaga gol Negeri Sembilan FC tahun ini. Foto: NSFC
Melihat kepada kemungkinan Syihan menjadi sebahagian keluarga Harimau Selatan dan merasai suasa bunga api di penghujung musim, bekas penjaga gol skuad Bawah 23 Tahun ini memiliki peluang cerah.
Faktor usia penjaga gawang JDT, Faizal Marlias yang berusia 36 tahun dan menyertai JDT sejak 2015 juga dilihat antara salah satu sebab kemungkinan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu membawa Syihan ke Iskandar Puteri.
ARTIKEL BERKAITAN:
Syihan ucap selamat tinggal NSFC, kemana destinasi seterusnya?
Piala Malaysia 2022: Syihan belum fikir ‘status’ musim depan, pilih Neuer jadi idola
Awal November lalu, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards memberitahu, bagi memantapkan lagi skuad Harimau Selatan, pasukan akan membawa masuk tiga tenaga import baharu dan seorang pemain tempatan.
Mungkinkah ‘Siapa Syihan’ yang dimaksudkan pemain tempatan itu?