PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee tetap memuji aksi para pemain walaupun tersingkir di peringkat separuh akhir TM Piala Malaysia musim ini.

Pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Sabah akur terpaksa tewas secara agregat 4-1 kepada pasukan pilihan Johor Darul Ta’zim.

“Dah tentu tanpa beberapa tonggak pemain yang mengalami kecederaan dan hari ini kita datang dengan 16 pemain dan kita tidak mampu bersaing untuk dengan begitu baik.

“Tapi semua pemain menunjukkan satu komitmen yang cukup tinggi untuk dilalui pada masa akan datang,” katanya, selepas perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim.

Ujar Kim Swee, beberapa penambahan pemain baru akan dibuat pada musim depan tetapi bergantung kepada pihak persatuan kelab.

“Kita harus tahu Sabah tak boleh berbelanja besar dan kita mengharapkan pemain yang diambil nanti dapat membantu membuat persiapan lebih baik pada musim depan,” ujarnya.

Pencapaian The Rhinos musim ini boleh disifatkan terbaik apabila menamatkan saingan Liga Super ditangga ketiga di belakang JDT dan Terengganu FC dan mara ke suku akhir Piala FA.