GERAKAN Ultras Selangor kembali menyeru pihak pengurusan tertinggi Selangor FC (SFC), khususnya pemilik kelab, untuk mengadakan sesi pertemuan secara aman dan damai bagi membincangkan isu-isu yang membelenggu kelab kesayangan mereka.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan melalui platform rasmi mereka, Ultras Selangor menegaskan bahawa usaha mereka untuk berjumpa dengan pemilik SFC bukanlah satu ancaman, tetapi sebahagian daripada hasrat murni untuk mencari penyelesaian terbaik demi kemajuan kelab.
Seruan ini sudah kali kelima dibuat, namun sehingga kini tiada maklum balas konkrit diterima.
“Berjumpa lagi kita esok, dengan janji untuk bersama, tidak melupakan hasrat untuk bersua dengan pemilik SFC. Kasi jadi! 5 kali dinaikkan secara aman damai!,” menurut kenyataan rasmi mereka di Facebook.
Kemenangan Selangor di Manjung baru-baru ini, meskipun menggembirakan, tidak dapat menutup masalah dalaman yang berlaku dalam pengurusan tertinggi kelab. Isu-isu seperti ketelusan pentadbiran, hala tuju kelab, dan kepuasan penyokong terhadap keputusan pengurusan terus menjadi persoalan hangat dalam kalangan peminat setia Red Giants.
Ultras Selangor turut menyeru Pengerusi SFC untuk tampil mendengar suara penyokong melalui sesi dialog terbuka. “Come on Mr. Chairman, jom bersesi dengan penyokong untuk teliti masalah ini,” ujar mereka dengan nada sinis tetapi penuh harapan.
Setakat ini, belum ada kenyataan balas daripada pihak pengurusan SFC. Namun, tekanan daripada penyokong semakin meningkat, dan inisiatif ini dilihat sebagai peluang untuk memperbaiki hubungan antara pihak pengurusan dan penyokong setia kelab.
Peminat Red Giants kini menanti perkembangan lanjut dan berharap pihak pengurusan SFC bersikap terbuka terhadap luahan mereka. Kesepaduan antara penyokong dan pengurusan adalah kunci utama dalam mengembalikan kegemilangan Selangor FC.
Esok, anak buah Katsuhito Kinoshi itu akan melayan kunjungan Kelantan Darul Naim FC untuk aksi suku akhir kedua Piala Cabaran di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
FOTO : UltraSel Curva