GANDINGAN profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, gagal menamatkan penantian Malaysia untuk merangkul gelaran sulung dalam kejohanan Jelajah Dunia Akhir(WTF) di Hangzhou, China pada Ahad.

Beregu nombor tujuh dunia itu tewas kepada pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, yang merupakan beregu nombor 3 dunia, dengan keputusan 21-17, 17-21, 21-11 dalam perlawanan akhir selama 65 minit.

Pasangan itu turut tewas kepada pasangan Denmark tersebut dalam peringkat kumpulan sebelum ini dan kini ketinggalan 3-8 dalam rekod pertemuan mereka.

Sze Fei-Izzuddin terpaksa berpuas hati dengan hadiah naib juara bernilai AS$100,000, manakala Astrup-Rasmussen membawa pulang AS$210,000.

Meskipun tewas, pencapaian Sze Fei-Izzuddin tetap membanggakan selepas meraih tiga gelaran Siri Jelajah Dunia — Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik  selain menjadi naib juara Kejohanan Asia.