PERTAHANAN Terengganu FC II, Ubaidullah Shamsul Fazili menganggap kejayaan Terengganu FC II muncul juara sulung Piala MFL 2023 adalah hasil usaha semua pemain yang bekerja keras sepanjang musim.
Pemain berusia 20 tahun itu juga berterima kasih kepada jurulatih TFC II, Hairuddin Omar yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk beraksi sehingga dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim II dalam aksi final di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
“Terima kasih pada ‘coach‘ kerana percaya pada saya. Anugerah pemain terbaik ini bukan untuk saya seorang tetapi semua rakan sepasukan dan ini adalah kejayaan buat mereka semua.
“Salah satu rezeki dapat bermain di semua pasukan Terengganu musim ini dari pasukan utama hingga Piala Presiden dan saya tak anggap ianya beban tetapi pengalaman untuk bermain dalam setiap pasukan dan ianya mematangkan saya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Ubaidullah yang turut bermain bersama skuad utama Terengganu FC di Piala Malaysia dan Piala AFC mahu menggunakan kejayaan ini sebagai motivasi tambahan apabila bakal turun sekali lagi buat TFC dalam final Piala Malaysia bertemu Johor Darul Ta’zim pada 8 Disember nanti.
“Saya akan gunakan kejayaan ini sebagai motivasi untuk final Piala Malaysia dan kita tahu JDT adalah pasukan yang kuat tetapi seperti perlawanan final ini, semuanya berkemungkinan dan kami hanya perlu berdisiplin dan lakukan yang terbaik,” jelasnya.
Aksi matang yang ditunjukkan Ubaidullah juga mendapat pujian Hairuddin Omar yang menganggap dia adalah seorang pemain pertahanan moden yang lengkap dan berharap dia akan menjadi aset bola sepak kebangsaan.
“Sepanjang hari saya melihat Ubaidullah di padang latihan dan dia adalah pemain ‘modern football‘. Dia bukan sahaja bagus di pertahanan tetapi dia kini diperlukan sebagai pemain nombor enam yang mempunyai mentaliti yang baik dan saya harap dia menjadi aset untuk bola sepak negara,” kata Hairuddin.