PERTEMUAN penting menentang Jepun pada aksi terakhir kumpulan B, Piala Negara-Negara FIH, di Universiti North-West, Potchefstroom, Afrika Selatan, esok menimbulkan kegusaran kepada pengendali, A Arulselvaraj apabila barisan pemain dibawanya, kini dibelenggu kecederaan.
Ketua Jurulatih skuad kebangsaan itu berkata, banyak posisi pemain perlu diubah bagi melengkapkan kesebelasan pemain di atas padang.
“Melihat kepada kecederaan, kita perlu ubah posisi pemain untuk mencukupkan 11 pemain di atas padang, dan tentunya kerisauan kita ketika ini adalah kecederaan,” kata Arul.

POTCHEFSTROOM – Piala Negara-Negara FIH: Amirul Hamizan Azahar, antara pemain muda mendapt kaps pertama bersama skuad bimbingan A Arulselvaraj. Amirul mengalami kecederaan kaki pada perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah, sempat pulih ke Piala Negara-Negara, namun dibimbangi kecederaan itu berulang kembali./
WORLDSPORTPICS COPYRIGHT FRANK UIJLENBROEK
Skuad negara sudah menempuh dua perlawanan peringkat kumpulan, tewas 1-0 kepada Korea Selatan pada perlawanan dan menang 3-2 ke atas Kanada, dan kini berkongsi mata dengan Jepun.
Justeru, menentang pasukan dari negara matahari terbit itu amat penting, dan hanya kemenangan akan membawa pasukan ke separuh akhir, kerana Jepun ketika ini berkelebihan dari segi perbezaan jaringan.
“Setakat ini, berdasarkan statistik yang ada, keputusan menentang Jepun agak memuaskan.
“Tiga kali kita menewaskan mereka, perlawanan persahabatan menjelang Piala Asia, saingan Piala Asia dan Piala Sultan Azlan Shah.

POTCHEFSTROOM – Piala Negara-Negara FIH: Ketajaman Firhan Ashaari pasti ditagih A Arulselvaraj menjelang perlawanan menentang Jepun, esok./
WORLDSPORTPICS COPYRIGHT FRANK UIJLENBROEK
“Tapi statistik sekadar nombor, paling penting adalah prestasi pada hari perlawanan. Saya harap tempoh rehat sehari, hari ini memberi cukup waktu untuk pemain berehat dari segi mental dan emosi,” katanya.
Malaysia adalah pasukan di ranking tertinggi dalam kejohanan ini, iaitu ranking ke-10 dunia, dan pilihan utama untuk menjuarai kejohanan, sekali gus merebut slot bermain di Pro League FIH musim 2023/2024.
Jika dapat beraksi di Pro League, Speedy Tiger bakal mendapat manfaat besar, bersaing bersama pasukan ranking 10 teratas dunia dan yang pastinya, dapat membiasakan diri dengan perlawanan berintensiti tinggi.