PASUKAN TNB ThunderStars berjaya merampas kembali kejuaraan Piala Sumbangsih selepas menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) 5-4 dalam perlawanan dramatik di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), petang tadi.

Pakar pukulan sudut penalti TNB, Jang Jong Hyun muncul wira apabila meledak hatrik, manakala dua lagi jaringan disumbangkan oleh Adam Ashraf Mohd Johari dan Akhimullah Anuar Esook.

Skuad tuan rumah memulakan perlawanan dengan cemerlang apabila penyerang kebangsaan, Faizal Saari menjaringkan dua gol awal pada minit ketiga dan keempat untuk meletakkan THT selesa di hadapan.

Ketinggalan dua jaringan, TNB bangkit merapatkan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Jong Hyun sebelum Adam Ashraf menyamakan kedudukan 2-2 sejurus sebelum tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, TNB terus menekan dan berjaya mendahului 4-2 hasil jaringan Akhimullah serta gol kedua Jong Hyun menerusi satu lagi pukulan sudut penalti.

Namun, THT tidak mengalah apabila bangkit menyamakan kedudukan 4-4 menerusi jaringan Samkelo Mvimbi dan kapten pasukan, Mohd Fitri Saari dalam aksi yang semakin sengit.

Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, Jong Hyun sekali lagi tampil menjadi penyelamat apabila menjaringkan gol ketiga peribadinya menerusi pukulan sudut penalti pada saat akhir permainan.

Kemenangan itu membolehkan TNB ThunderStars menebus kekecewaan musim lalu, sekali gus kembali menjulang trofi Piala Sumbangsih selepas tewas 1-2 kepada THT sebelum ini.