DUA wakil negara dalam saingan Piala Shopee bagi merebut Kejuaraan Kelab Asean, Kuala Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC kini, mungkin sekadar menduduki tangga keempat dan ketiga Kumpulan A dan B namun dua pemain berstatus bintang optimis laluan ke separuh akhir masih dalam jangkauan mereka.

Bagi pemain sayap berpengalaman Terengganu FC, Safawi Rasid, biarpun prestasi skuad Peteh dalam saingan Piala Shopee kurang konsisten, dia percaya pasukannya berupaya bangkit dalam dua aksi getir selepas ini.

Terengganu FC ketika ini sekadar mencatat empat mata selepas tiga perlawanan dan wajib merakam kemenangan ke atas PSM Makasar pada 22 Januari ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin serta aksi berdepan kelab Thailand, BG Pathum United pada 5 Februari depan di laman lawan untuk memastikan kemaraan ke separuh akhir.

“Peluang itu masih ada dan kerana itu saya harap rakan sepasukan semua bersedia mengerah segala kudrat dalam dua aksi selepas ini kerana kami amat memerlukan mata maksimum.

“Sudah tentu kejayaan menewaskan wakil Myanmar Shan United 5-0 di laman lawan Rabu lalu memberikan motivasi buat kami berdepan PSM dan juga BG Pathun United nanti.

“Saya juga berasa lebih tenang beraksi musim ini serta turut berpuas hati dengan prestasi saya musim ini. Saya rasa lebih fokus menghadapi setiap perlawanan,” kata Safawi.

Nada sama turut disuarakan tonggak tengah berpengalaman Kuala Lumpur City, Brendan Gan yang menyifatkan pasukannya mempunyai pengalaman menjelmakan aksi baik dalam saingan seperti Piala Shopee sebelum ini iaitu ketika muncul juara Piala Malaysia 2021 dan muncul finalis Piala AFC 2022.

Brendan Gan

“Sudah pasti kami masih berpeluang meneruskan kemaraan walaupun ia kelihatan sukar. Aksi berdepan Hanoi dan Buriram selepas ini hanya dua perlawanan yang tiada perlawanan timbal balik, jadi kami hanya perlu pastikan aksi terbaik dalam dua perlawanan itu.

“Kuala Lumpur sebelum ini adalah pakar kejohanan kerana apabila bersaing dalam kejohanan sebegini, kebiasaannya kami berjaya meraih keputusan positif,” kata Brendan yang kini semakin beransur pulih daripada kecederaan betis dialami ketika berdepan Johor Darul Ta’zim dalam saingan suku akhir kedua Piala Malaysia, 21 Disember lepas.

Skuad warga kota kini meraih enam mata selepas tiga perlawanan, jumlah mata sama dengan pasukan di tangga kedua iaitu Buriram namun dibezakan menerusi pebezaan jaringan.

Peringkat kumpulan Piala Shopee Kejuaraan Kelab ASEAN sulung bermula pada 21 Ogos, dengan 12 daripada kelab terkemuka dari seluruh Asia Tenggara diundi untuk bertemu satu sama lain dalam pertandingan rasmi pertama seumpamanya di rantau ini.

Perlawanan peringkat kumpulan akan berlangsung di tempat sendiri atau di tempat lawan sehingga 6 Februari dengan perlawanan akhir dimainkan secara timbal balik pada 14 dan 21 Mei.