SEBUAH kondominium ditawarkan kepada setiap pemain bola keranjang yang berjaya meraih pingat emas pada Sukan Sea Thailand 2025.

Tawaran mengejutkan itu dibuat Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba) apabila menawarkan sebuah kondominium bernilai RM330,000 kepada setiap pemain lelaki mahupun wanita pada temasya itu.

Pengumuman itu dibuat Presiden Maba, Datuk Seri Lee Tian Hock dalam majlis makan malam tahunan persatuan terbabit, dengan menyifatkan tawaran berkenaan sebagai penghargaan atas kerja keras dan pengorbanan para pemain demi mengharumkan nama negara.

“Jika pasukan lelaki dan wanita kita berjaya membawa pulang emas, setiap pemain akan menerima satu unit kondominium bernilai RM330,000 di Cheras. Ini adalah penghargaan tertinggi kami untuk para pemain yang memberikan segalanya demi negara,” katanya, dalam sidang media.

Kondominium yang ditawarkan itu bakal dilengkapi dua bilik tidur dan keluasan 65.03 meter persegi, terletak di kawasan strategik dengan kemudahan moden.

Menurutnya, insentif itu ditawarkan sebagai langkah untuk memberikan motivasi tambahan kepada pemain negara menghadapi cabaran getir di temasya dwi tahunan itu.

Sebelum ini, menjelang Sukan Sea Hanoi 2021 dan Kemboja 2023 Tian Hock pernah menjanjikan insentif peribadi lumayan kira-kira RM2 juta kepada pasukan bola keranjang sekiranya berjaya meraih pingat emas.

Presiden Maba, Datuk Seri Lee Tian Hock menawarkan pingat emas kepada setiap pemain jika meraih emas Sukan Sea Thailand.

Bagaimanapun, ketika itu skuad wanita hanya berjaya membawa pulang gangsa di Hanoi dan Kemboja dengan setiap pemain menerima RM10,000.

Dalam pada itu Tian Hock turut mengakui bahawa Sukan Sea Disember ini akan menjadi medan persaingan yang sengit memandangkan banyak negara seperti Filipina, Kemboja, dan Vietnam mengambil pemain naturalisasi, kebanyakannya dari Amerika Syarikat.

“Kita tidak ketinggalan. Maba sedang memohon kelulusan untuk menaturalisasikan dua pemain lelaki dan seorang pemain wanita bagi pasukan 3X3 dan 5X5. Tanpa pemain naturalisasi, sukar untuk bersaing kerana bola keranjang memerlukan ketinggian dan kekuatan fizikal,” jelasnya.

Maba mensasarkan untuk mengulangi pencapaian emas seperti edisi terdahulu, di mana Malaysia pernah menjadi juara kategori lelaki dan wanita.

Namun, dengan perubahan peraturan Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (Fiba) yang membenarkan pemain naturalisasi, persaingan kini semakin mencabar.

Dua pemain lelaki yang dalam proses dinaturalisasikan ialah Tychique Bosango dari Republik Demokratik Congo dan Joseph Obasa dari Nigeria manakala pemain wanita Aalia Carlson yang memiliki darah kacukan Malaysia-Amerika Syarikat.

Temasya Kemboja pada 2023, skuad lelaki hanya menduduki tempat kelima (round robin), manakala pasukan wanita mempertahankan gangsa yang dimenangi di Hanoi 2021.

Kali terakhir skuad lelaki memenangi emas pada 1989 di Kuala Lumpur, manakala pasukan wanita pula di lokasi yang sama pada 2017.