PASUKAN hoki Jepun masih belum memikirkan tentang perlawanan akhir Piala Sultan Azlan Shah 2024 biarpun sudah berjaya melayakkan diri ke peringkat tersebut.
Ia merupakan kejayaan pertama mereka untuk melangkah ke pentas akhir kejohanan jemputan itu selepas lima penampilan sebelum ini.
Menurut ketua jurulatih Jepun, Yoshihiro Anai berkata fokus pemain-pemainnya lebih terarah kepada perlawanan terakhir kumpulan bertemu Kanada dalam usaha mengekalkan rekod tanpa kalah pada saingan kali ini.

“Kami seharusnya lebih fokus kepada perlawanan seterusnya bertemu Kanada. Daripada perlawanan itu kami akan mengenalpasti segala kelemahan dan cuba memperbaikinya.
“Barisan pemain perlu terus bekerja keras dan mengikut apa yang dirancang seperti biasa. Kami perlu kekalkan momentum ini,” katanya.
Selepas empat perlawanan, Jepun melakar tiga kemenangan iaitu ke atas Korea Selatan (2-1), New Zealand (4-1) dan Malaysia (2-1) serta seri ketika bertemu Pakistan (1-1).

Jepun dan Pakistan menduduki dua tangga teratas dengan berkongsi 10 mata dan tidak mampu dipintas lagi oleh mana-mana pasukan termasuk The Speedy Tigers, sekali gus mengesahkan kemaraan kedua-dua pasukan ke perlawanan akhir dengan berbaki satu perlawanan.
Jepun akan bertemu dengan Kanada untuk aksi terakhir kumpulan hari ini, jam 6.15 petang.