KETUA jurulatih skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini menegaskan fokus utama kini adalah memperbaiki segala kelemahan yang masih membelenggu pasukannya menjelang Piala Dunia Hoki Remaja di Tamil Nadu, India, yang akan berlangsung dari 28 November hingga 10 Disember ini.

Menurut Nor Saiful, meskipun Young Tigers menamatkan kempen Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di tempat kelima, prestasi keseluruhan pemain muda negara tetap membanggakan dan memberikan petanda positif menuju kejohanan dunia.

“Saya rasa bagus persembahan kali ini, sebelum Piala Dunia kita dapat belajar sesuatu dan mungkin ada perkara yang boleh diperbaiki untuk tampil lebih kemas di sana nanti.

Nor Saiful Zaini bersama barisan kejurulatihan Young Tigers

“Cuma ada lagi kelemahan-kelemahan yang kita nampak dari segi untuk memenangi perlawanan contohnya dengan Australia, Great Britain dan India. Saya rasa kita tak jauh sangat, tapi kita masih belum boleh menang.

“Untuk perancangan sebelum Piala Dunia, kita akan lihat semula kelemahan dan kelebihan yang ada di sini, malah beberapa siri perlawanan pemanas badan akan diadakan dengan menentang Ireland dan barisan pemain skuad senior,” katanya.

Menjelang cabaran lebih besar di pentas dunia, Nor Saiful berkata pasukan akan memberi tumpuan terhadap aspek ketahanan fizikal, ketepatan pukulan sudut penalti, pertahanan serta penyudah gol yang masih perlu dipertajamkan.

Malaysia bakal menentang tiga pasukan Eropah – Austria, Belanda dan England di Piala Dunia Hoki Remaja di Tamil Nadu bulan hadapan.

“Lawan kita nanti adalah pasukan dari Eropah iaitu Belanda, England dan Austria. Mereka tahu cara kita bermain, jadi kita kena bersedia menghadapi corak permainan Eropah yang tersusun dan fizikal mereka yang lebih kuat.

“Kita tahu Piala Dunia tidak semudah SOJC, jadi kita perlu tingkatkan lagi intensiti permainan dan bagaimana untuk menguasai ‘circle penetration’, malah pemain juga perlu bijak untuk kenal pasti apa yang boleh dan tak boleh dilakukan dalam proses permainan,” tambahnya.