KETUA jurulatih The Speedy Tigers, Sarjit Singh berasa gembira dengan keputusan yang dilakar pasukan kendaliannya ketika bertemu Kanada pada aksi Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Baginya, ia merupakan satu keputusan yang baik diraih barisan pemainnya walaupun terdapat beberapa kelemahan yang perlu di atasi segera sebelum aksi dengan New Zealand pada Selasa.

“Secara keseluruhan prestasi dan komitmen yang ditunjukkan oleh setiap pemain menepati apa yang saya harapkan.

Faizal Saari menjaringkan gol ke-141 di pentas antarabangsa semalam.

“Tapi saya masih tak berpuas hati dengan prestasi mereka kerana kita membenarkan Kanada menjaringkan dua gol yang mana bagi saya, kami memberikan gol itu kepada mereka.

“Kami perlu memperkemaskan benteng pertahanan kerana pada perlawanan hari ini, kami nampak agak lemah di bahagian itu,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan, Ahad malam.

Sarjit turut menambah bahawa New Zealand merupakan satu pasukan yang baik dan lengkap di semua aspek permainan.

“Saya menjangkakan satu perlawanan yang sukar  apabila bertemu New Zealand tetapi ia satu peluang yang baik untuk pemain kami bermain dalam perlawanan seperti ini.

“Bagi kami, perlawanan ini adalah satu pembelajaran untuk kita bergerak ke hadapan dan saya berharap kita dapat menjadi lebih baik,” katanya lagi.

Ketika aksi kemenangan semalam, The Speedy Tigers mencatat jumlah besar apabila menewaskan Kanada 6-2 hasil jaringan enam pemain yang berbeza.

Malaysia akan bertemu New Zealand untuk aksi ketiga pada Selasa, 8.30 malam.