KEHILANGAN ibu tersayang ketika menjalani latihan sebagai persiapan akhir ke Kejohanan Pencak Silat Dunia 2024 di Abu Dhabi,tidak merenggut semangat pesilat remaja, Harriz Naufal Md Fadly untuk membawa pulang pingat sebagai memenuhi permintaan arwah yang meninggal dunia empat hari lalu.

Harriz Naufal, 15, mengakui masih bersedih atas pemergian ibunya, Sabarilah Long, akibat jangkitan kuman pada paru-paru namun mahu menghadiahkan pingat sebagai penghormatan bermakna.

“Ibu berpesan supaya saya membawa pulang pingat dari Abu Dhabi. Pesanan itu menjadi kekuatan saya untuk berjuang dan menjadikannya hadiah untuk arwah,” kata Harriz Naufal yang berasal dari Segamat, Johor.

Seramai 15 pesilat remaja mewakili negara di Kejohanan Pencak Silat Remaja Dunia kelima di Abu Dhabi dari 18-22 Disember ini.

Walaupun dilanda kesedihan, semangat Harriz tetap menyala ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bendera Pasukan Silat di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Minggu lepas, Khamis, kali terakhir saya bertemu dengannya. Waktu itu, dia masih sihat dan memberi nasihat untuk tidak putus semangat. Insya-Allah, saya akan berusaha sebaik mungkin,” katanya, penuh azam.

Harriz Naufal akan bertanding dalam kategori remaja H lelaki 67-71 kilogram, bersama 45 lagi atlet Malaysia yang terdiri daripada 31 atlet senior dan 15 atlet remaja. Kejohanan ini menjadi peluang untuk pasukan negara menambah kejayaan selepas meraih tujuh emas, lapan perak, dan lapan gangsa di edisi lalu di Melaka.

Semangat juang Harriz menjadi inspirasi, membuktikan bahawa walaupun diuji dengan kesedihan, cita-cita dan dedikasi kepada negara tetap menjadi keutamaan.