JURULATIH Indonesia, Shin Tae Yong, mencadangkan agar format Kejohanan Bola Sepak ASEAN atau dikenali sebagai Piala AFF diubah bagi meningkatkan kualiti keseluruhan pertandingan.
Dalam satu sidang media pada Sabtu, menjelang perlawanan antara Indonesia dan Vietnam di Piala AFF 2024, Shin Tae Yong menyuarakan pendapatnya.
“Dua hari lalu, ketika sidang media selepas perlawanan menentang Laos, saya sudah menyatakan bahawa format peringkat kumpulan Piala AFF perlu diubah.
“Perlawanan peringkat kumpulan wajar dimainkan di satu negara sahaja, manakala peringkat separuh akhir dan akhir boleh diadakan secara timbal balik.
“Melalui perubahan ini, kualiti setiap pasukan akan meningkat. Corak permainan dan kemahiran pemain juga dapat dipertingkatkan, seterusnya meningkatkan tahap kejohanan ini.
“Format sekarang yang memerlukan pasukan sering melakukan perjalanan menyukarkan keadaan pasukan,” kata Shin Tae Yong, memetik laporan Bongda24h.
Selepas perlawanan menentang Laos, Shin Tae Yong turut mengkritik jadual padat Piala AFF 2024, yang menurutnya memberi tekanan besar kepada pemain.
Mengikut jadual rasmi Piala AFF 2024, jarak antara satu perlawanan dengan perlawanan seterusnya hanya tiga hari. Situasi ini dianggap Shin Tae Yong sebagai tidak realistik dan membebankan pemain.
“Tidak sepatutnya ada jeda hanya tiga hari antara satu perlawanan dengan perlawanan seterusnya. Ini seperti membunuh pemain,” katanya ketika itu.
Sang Garuda bakal berdepan Vietnam dalam perlawanan ketiga Kumpulan B di Stadium Viet Tri pada Ahad.
Indonesia kini berada di puncak carta Kumpulan B dengan empat mata hasil daripada dua perlawanan. Sementara itu, Vietnam di tangga kedua dengan tiga mata selepas satu perlawanan.