PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada dua individu yang dipercayai terbabit dalam usaha mengganggu keharmonian pasukan kebangsaan serta hubungan dengan Pengarah Teknikalnya, John Beasley.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata tindakan itu diambil selepas badan induk berkenaan mengenal pasti individu terbabit susulan isu yang mula menjadi perhatian sejak April lalu.

“Sebenarnya perkara ini kita telah dapat tahu dari awal. Ia sudah berlaku sejak sekian lama tetapi mula meletus pada April. Kami sudah mengenal pasti individu yang terlibat dan surat tunjuk sebab telah dikeluarkan pada pertengahan Mei.

“Kami juga sudah menerima jawapan daripada mereka dan akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi menentukan tindakan yang sesuai kerana perkara seperti ini perlu dihentikan,” katanya.

Menurut Amarjit, PKBM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar prosedur atau cuba mewujudkan pergeseran dalam ekosistem berbasikal negara.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu terbabit, namun mengakui setakat ini PKBM sudah mengenal pasti seorang watak utama dan seorang lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan isu berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Amarjit menafikan laporan yang mendakwa Beasley sudah meletakkan jawatan dan menegaskan jurulatih dari Australia itu akan terus menjalankan tugas sehingga kontraknya tamat pada Januari tahun depan.