THE POCKET Rocketman memberi amaran keras kepada pelumba elit dan pelapis negara agar tidak selesa sehingga boleh dipintas dirinya yang berusia 37 tahun.

Datuk Azizulhasni Awang yang juga bekas juara dunia keirin memberitahu, dia enggan bersara selepas Olimpik Paris lalu kerana mahu terus jadi duri dalam daging kepada Shah Firdaus Sahrom, Ridwan Sahrom dan Fadhil Zonis.

Datuk Azizulhasni ketika berjuang bersama Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

“Kalau saya dalam keadaan sekarang pun masih boleh kalahkan mereka di latihan, mereka kena fikir balik dan buat sesuatu,” katanya penuh sindiran.

Azizulhasni percaya tanpa saingan sebenar dalam latihan, pelumba muda akan kekal lena di zon selesa tanpa ada lonjakan prestasi.

“Sebab itu saya masih berlumba, bukan sekadar untuk diri sendiri, tapi untuk tekan mereka supaya keluar daripada kepompong selesa,” katanya lagi.

Muhamad Fadhil Zonis dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri juga menjadi sandaran pengganti legasi Datul Azizulhasni.

Walaupun menetap di Melbourne demi pengajian, beliau tetap berulang-alik ke Malaysia setiap bulan bagi memastikan tekanannya terus dirasai di Velodrom Nasional Nilai.

Azizulhasni menegaskan, dia mahu melihat Shah Firdaus benar-benar tampil sebagai penggantinya selepas sekian lama digelar pewaris namun setakat ini masih mencari kestabilan.

“Kalau nak isi kasut saya, kena kerja lebih keras, kerana saya tidak akan mudahkan perjalanan mereka,” katanya tegas, seolah-olah mencabar pelapis negara bangkit segera.