PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan sukan negeri dengan menyerahkan sumbangan penghargaan berjumlah RM500,000 kepada pasukan Selangor FC.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas, kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, yang juga merupakan Pengerusi Selangor FC.
Majlis penyerahan berlangsung di Istana Mestika, Seksyen 7, Shah Alam, dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan PKNS, Dr. Azlina Jaapar, serta Pengurus Besar Kanan Perancangan Strategik PKNS, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid.
Menurut kenyataan PKNS, sumbangan ini mencerminkan sokongan berterusan mereka terhadap pembangunan sukan di Selangor. PKNS juga berharap pasukan Selangor FC terus mencipta kecemerlangan dan mengharumkan nama negeri pada masa hadapan.
Usaha ini sekali lagi membuktikan peranan penting PKNS sebagai rakan strategik dalam memartabatkan arena sukan negeri Selangor.