ISU di sebalik penggantungan tujuh pemain warisan Harimau Malaya memasuki fasa baharu apabila pihak polis mengenal pasti dua individu yang dipercayai terlibat dalam pemalsuan dokumen yang dikemukakan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sekali gus menggemparkan landskap bola sepak negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan pihaknya kini giat mengesahkan identiti sebenar serta mengesan dua individu terbabit bagi membantu siasatan lanjut berkaitan pendaftaran pemain warisan di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Setakat ini, pihak polis telah menerima sebanyak 45 laporan polis berkaitan isu ini termasuk satu laporan polis oleh FAM. Kita telah merakam percakapan seramai 43 individu melibatkan FAM, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan saksi awam bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa
Menurut Rusdi, siasatan awal mendapati proses pemberian taraf kewarganegaraan kepada tujuh pemain warisan berkenaan dilaksanakan secara teratur dan mematuhi semua prosedur undang-undang yang ditetapkan, sekali gus menafikan dakwaan berlaku penyelewengan dalam aspek penaturalisasian.
Namun, fokus siasatan kini menjurus kepada kemungkinan wujud elemen penipuan dan pemalsuan dokumen ketika proses pendaftaran pemain serta penghantaran maklumat kepada FIFA, yang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Siasatan seterusnya menjurus kepada elemen penipuan dan pemalsuan semasa proses pendaftaran serta mengemukakan dokumen pemain-pemain yang terlibat kepada FIFA,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan, sambil memberi jaminan pihak polis komited memastikan ketelusan dan integriti siasatan sentiasa diutamakan demi menjamin keadilan tanpa melindungi mana-mana pihak.
Perkembangan terbaharu ini sekali lagi meletakkan isu pemain warisan Harimau Malaya di bawah sorotan tajam, dengan peminat bola sepak tempatan kini menanti jawapan penuh yang bakal menentukan hala tuju skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.