BOLA SEPAK negara kini berdepan detik paling kritikal apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) difahamkan bersedia membentuk jawatankuasa sementara untuk menguruskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), susulan tindakan semua Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk itu yang dijangka meletakkan jawatan secara serentak pada 28 Januari ini.

Menurut Utusan Malaysia, sumber menyatakan keputusan drastik itu dibuat secara sebulat suara oleh barisan Exco FAM demi menyelamatkan bola sepak negara daripada risiko penggantungan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), khususnya berkaitan isu dakwaan pemalsuan dokumen pemain warisan yang kini mencuri tumpuan.

“Beberapa jam selepas Exco FAM melepaskan jawatan, AFC akan masuk untuk mengambil alih pentadbiran FAM dan mereka akan mengadakan sidang akhbar dari semasa ke semasa,” kata sumber berkenaan, sambil menegaskan langkah itu telah dibincangkan dalam pertemuan tertutup minggu lalu.

Difahamkan, jawatankuasa sementara yang bakal dibentuk AFC akan menguruskan FAM dalam tempoh singkat sehingga proses pemilihan baharu dapat dilaksanakan, dengan garis masa yang akan ditentukan kemudian berdasarkan keperluan semasa.

Sebelum ini, Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menjelaskan campur tangan hanya boleh dilakukan sekiranya berlaku kekosongan dalam kepimpinan tertinggi FAM, termasuk peletakan jawatan secara rasmi oleh barisan Exco.

“Jika mereka tidak meletakkan jawatan, FAM akan terus berjalan seperti biasa dan kami tidak boleh buat apa-apa. Tetapi sekiranya berlaku kekosongan, barulah kita mencari jalan untuk membentuk satu pengurusan sementara sehingga pemilihan baharu diadakan,” katanya.

Menurut Windsor, pengurusan sementara itu bukan bersifat jangka panjang, sebaliknya bertujuan membetulkan aspek urus tadbir yang perlu, dengan tempoh kebiasaan antara tiga hingga sembilan bulan berdasarkan pengalaman AFC di negara lain.

Beliau turut memaklumkan, AFC lazimnya akan melantik individu yang benar-benar bebas daripada pengurusan terdahulu, termasuk pakar undang-undang dan kewangan, sekiranya jawatankuasa sementara perlu dibentuk, meskipun FAM masih mempunyai Setiausaha Agung serta Presiden Kehormat bagi meneruskan tugasan harian.

Perkembangan ini meletakkan bola sepak Malaysia di persimpangan besar, dengan keputusan dalam tempoh terdekat bukan sahaja menentukan hala tuju pentadbiran FAM, malah masa depan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.