KERAJAAN memperuntuk RM12 juta bagi pelaksanaan Program Road to Gold (RTG) 2026 dengan fokus khusus kepada atlet elit negara yang berada dalam ranking terbaik dunia sebagai pelaburan awal memburu emas Olimpik Los Angeles 2028.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari berkata, RTG diteruskan sebagai inisiatif strategik negara yang lebih tersusun dengan sasaran jelas terhadap kelompok atlet berpotensi pingat emas di pentas dunia.

Menurutnya, sokongan menyeluruh akan diberikan merangkumi latihan berfasa, pertandingan berimpak tinggi, sains sukan, perubatan sukan serta kebajikan atlet bagi memastikan prestasi dapat dimaksimumkan.

“Bagi memastikan persiapan awal dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, Kerajaan memperuntukkan RM12 juta bagi RTG pada tahun 2026,” katanya, ketika sesi Pertanyaan Jawab Lisan Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut menekankan kesejahteraan mental atlet menerusi program pemerkasaan mental, motivasi dan kenegaraan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mengulas pencapaian Sukan SEA 2025, Taufiq berkata kontinjen negara meraih 231 pingat, melepasi sasaran 200 pingat dan mencatat prestasi terbaik Malaysia di luar negara sejak temasya 2007 di Korat, Thailand.

Beliau berkata persiapan ke arah Sukan SEA 2027 sudah bermula tahun ini menerusi pelan pembangunan atlet tiga fasa merangkumi pemilihan atlet berpotensi, pemerkasaan prestasi dan latihan sepenuh masa menjelang temasya itu.

Selain itu, Majlis Sukan Negara (MSN) akan meneruskan Program ASIAKOM sebagai persiapan ke Sukan Asia 2026 di Nagoya dan Sukan Komanwel 2026 di Glasgow dengan kerajaan optimis Malaysia mampu menembusi kelompok tiga terbaik Sukan SEA 2027.