PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Dato’ Sri Megat D. Shahriman tampil menafikan khabar angin bahawa atlet para negara dijanjikan insentif RM60,000 bagi setiap kejayaan pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024, sambil menegaskan tiada janji rasmi dibuat.

“Angka RM60,000 itu saya sendiri tidak tahu dari mana datangnya. Apa yang terkumpul hanyalah RM55,000,” katanya pada sidang media di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, Kampung Pandan.

Beliau menjelaskan Zero Healthcare antara penaja yang menyumbang lebih RM15,000 kepada atlet negara di Paris serta memberikan insentif tunai RM10,000 untuk emas, RM5,000 untuk perak dan RM3,000 untuk gangsa pada 9 April 2025.

Menurut Megat, penajaan RM55,000 daripada B.Grimm Power pada 25 Julai 2025 kini dalam proses disalurkan kepada atlet dan beliau menekankan bahawa ia bukan janji rasmi, sebaliknya sumbangan penaja.

MPM merekodkan agihan insentif tunai berjumlah RM88,000 kepada atlet paralimpik, termasuk Cheah Liek Hou dan Bonnie Bunyau Gustin (RM25,000), Abdul Latif Romly serta Ziyad Zolkefli (RM15,000) dan Eddy Bernard (RM8,000), Megat menegaskan agihan dibuat secara telus tanpa penyelewengan.

Beliau menolak keras tuduhan bahawa MPM adalah sebuah “scam organisation”, menyifatkannya sebagai fitnah yang menjejaskan reputasi atlet dan hubungan dengan penaja,Katanya, perkataan ‘scam’ terlalu berat kerana MPM sentiasa menjaga kebajikan atlet, dan tuduhan itu hanya akan menakutkan penaja pada masa depan.

Menurutnya, MPM tidak teragak-agak mengenakan tindakan tegas seperti surat tunjuk sebab atau tatatertib ke atas atlet yang terlibat.

Begitupun, Megat menegaskan pihak MPM komited memastikan semua bayaran insentif kepada atlet akan diselesaikan pada hari ini, sekali gus menutup sebarang spekulasi berkaitan isu tersebut.

“Hari ini kita selesaikan bayaran, tutup isu ini dan teruskan dengan siasatan serta tindakan undang-undang selepasnya,” kata Megat, sambil menegaskan tiada seorang pun atlet lebih besar daripada organisasi atau negara dan semua isu harus disalurkan mengikut prosedur yang betul.