CHEAH Liek Hou tidak pernah melanggar disiplin, sebaliknya isu yang timbul berpunca daripada kelewatan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Itu pandangan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berhubung tekanan MPM ke atas pemenang pemenang pingat emas dua Temasya Paralimpik.

Menurut Hannah, tindakan MPM mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap juara para badminton dunia itu adalah langkah yang tergesa-gesa.

“Liek Hou seorang atlet yang sentiasa menjulang nama Malaysia, bukan sahaja di Paralimpik malah di setiap kejohanan yang beliau sertai,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi di laman sosial Facebook.

Beliau menegaskan penaja hadir untuk meraikan kejayaan Liek Hou dan memberi sokongan, bukan kerana menaja MPM semata-mata.

“Isu ini bukan soal disiplin, tetapi kelewatan pihak MPM menunaikan janji selepas setahun kejayaan di Paris 2024,” jelas Hannah yang terkejut dengan hasrat MPM mempertimbang kemungkinan menyekat atlet itu beraksi di temasya sukan para akan datang.

Artikel berkaitan:

Presiden MPM Nafi Pernah Janji Insentif RM60,000

Cheah Liek Hou bakal di “ban” sertai temasya para – MPM

Jelasnya lagi, layanan yang diberikan kepada ikon sukan negara itu sepatutnya mencerminkan penghargaan, bukan tekanan.

Hannah turut mengingatkan bahawa Liek Hou berada di bawah jagaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

“MPM tidak boleh bertindak sendirian kerana kedudukan Liek Hou melibatkan banyak pihak dan keputusan besar hanya boleh dibuat secara bersama,” tegasnya.

Dalam satu sidang media hari ini, Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin memetik sebagai berkata, seorang atlet para (sambil memegang sehelai kertas tertera petikan Insta Story dimuat naik Liek Hou) dipercayai memfitnah badan itu hingga boleh menjejaskan reputasi kepada pemegang taruh, dan berkemungkinan digantung daripada menyertai temasya sukan.