CHEAH Liek Hou kini berdepan risiko digantung daripada menyertai temasya sukan para gara-gara status panas di Instagram yang melabelkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sebagai “organisasi scam”.

Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menegaskan tindakan legenda para badminton itu bukan sahaja keterlaluan, malah menjejaskan reputasi badan sukan dan usaha mencari penajaan pada masa depan.

“Posting sebegini adalah fitnah, ia bukan sekadar menyinggung kami tetapi juga menakutkan penaja sedia ada dan bakal penaja,” katanya dalam sidang media khas di pejabat Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan.

Menurutnya, MPM juga akan menghantar surat tunjuk sebab kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) serta Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung tindakan Liek Hou ini.

Megat turut mengesahkan MPM kini mendapatkan nasihat peguam dan tidak menolak kemungkinan tindakan undang-undang akan diambil bagi melindungi kredibiliti organisasi dan penaja terlibat.

“Tiada atlet lebih besar daripada negara atau organisasi, setiap perkataan dan tindakan mesti bertanggungjawab,” tegasnya lagi.

Beliau menasihatkan atlet supaya menggunakan saluran rasmi jika berdepan isu kewangan, kerana pintu perbincangan sentiasa terbuka tanpa perlu meluah di media sosial.

Dalam masa sama, Megat mengakui dua lagi atlet turut disiasat selepas didapati berkongsi semula status berkenaan yang disifatkan sebagai mencalar imej sukan para negara. Pengumuman siasatan penuh dijangka dapat diselesai dslam tempoh sebulan.