KEKALAHAN awal Leong Jun Hao di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 mula menimbulkan keresahan di kem perseorangan lelaki negara.
Pengarah Kejurulatihan, Kenneth Jonassen mengakui prestasi semasa anak buahnya itu semakin membimbangkan.
Tersingkir di pusingan pertama selepas tunduk kepada pemain Taiwan, Lin Chun Yi 11-21, 19-21, kekalahan itu bukan sahaja menamatkan kempen sulung Jun Hao di kejohanan tersebut, malah memadam rekod dua kemenangan terdahulu ke atas lawan sama.
“Jun Hao gagal menyaingi kelajuan dan kekuatan pukulan Lin. Lawan mengawal permainan sejak awal, dan kami lihat dia masih bergelut untuk menyesuaikan diri apabila diasak dengan tempo tinggi,” kata Jonassen ketika dihubungi.

Pengarah kejurulatihan, Kenneth Jonassen (kiri) mengakui prestasi semasa Leong Jun Hao amat membimbangkan.
Walaupun hampir mencipta kebangkitan di set kedua, ia masih belum cukup untuk menafikan rekod mengecewakan — tersingkir awal dalam kesemua enam kejohanan yang disertainya musim ini tanpa sekali pun menembusi kelompok 16 terbaik.
“Saya tak suka kalah, dan kekalahan seperti ini pastinya memberi kesan kepada keyakinan pemain serta perancangan pasukan,” ujar Jonassen.
“Kami perlu kembali ke papan strategi. Lawan sudah tahu bagaimana untuk ‘mematikan’ kekuatan Jun Hao, dan kini tugas kami adalah mencari penyelesaian.”
Jonassen bagaimanapun masih yakin ada ruang untuk pemulihan, dengan pendekatan berasaskan data dan analisis prestasi akan menjadi kunci dalam proses membina semula rentak Jun Hao.