DUA nama besar yang pernah menggegarkan bola sepak Asia Tenggara kini kembali ke tanah air dengan misi baharu, bukan sebagai jurulatih, tetapi sebagai pemimpin.

Park Hang-seo dan Shin Tae-yong, dua figura yang menjadi tonggak kebangkitan Vietnam dan Indonesia, kini menggalas tanggungjawab besar sebagai Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) bagi penggal 2025–2028.

Pelantikan kedua-duanya diumumkan oleh KFA baru-baru ini seperti dilaporkan sumber VN Express International, dengan mereka menjadi antara 27 individu terpilih dalam Jawatankuasa Eksekutif ke-55 yang dipimpin oleh Presiden KFA, Chung Mong-gyu.

 Bekas jurulatih Vietnam, Park Hang Seo.

Park akan memfokus kepada sokongan terhadap skuad kebangsaan Korea Selatan, manakala Shin akan mengawasi kerjasama luar negara  satu portfolio yang sangat sesuai memandangkan pengalaman luasnya di rantau ASEAN.

Park, yang mencipta sejarah luar biasa bersama Vietnam antara 2017 hingga 2023, pernah membawa skuad itu ke pentas tertinggi bola sepak Asia seperti final AFC B23 2018, suku akhir Piala Asia 2019 dan pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022.

Di bawah kendaliannya, Vietnam menjadi kuasa dominan Asia Tenggara dan kekal dalam kelompok Top 100 FIFA untuk tempoh paling lama. Walaupun kini hanya menjadi penasihat Bac Ninh FC di Vietnam, kredibiliti Park tidak pernah pudar.

 Bekas jurulatih Indonesia, Shin Tae-yong (sumber PSSI)

Shin pula meninggalkan kesan besar di Indonesia apabila mencipta beberapa pencapaian luar biasa termasuk membawa Garuda ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan layak ke Piala Asia 2023.

Walaupun kontraknya bersama Indonesia ditamatkan selepas kegagalan di Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024, beliau tetap dikenang sebagai arkitek bola sepak moden Indonesia, malah mencatat kemenangan bersejarah ke atas Arab Saudi pada November lalu.

Buat masa ini, Shin mengambil cuti setahun daripada kejurulatihan untuk menimba lebih banyak ilmu bola sepak sebelum kembali ke padang.

Pelantikan dua bekas ‘penguasa’ ASEAN ini menandakan satu langkah strategik KFA dalam memanfaatkan pengalaman antarabangsa mereka untuk memperkukuh struktur bola sepak Korea.

Gabungan antara ilmu tempatan dan global ini dijangka membuka lembaran baharu buat bola sepak Korea Selatan menjelang tempoh penting menuju Piala Dunia dan kejohanan serantau lain.

Asia Tenggara mungkin kehilangan mereka di bangku simpanan, tetapi pengaruh Park dan Shin kini lebih besar dalam bola sepak Korea Selatan.