PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ) menegaskan bahawa projek pasukan kebangsaan tidak boleh dianggap gagal meskipun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini berdepan isu dokumentasi melibatkan tujuh pemain warisan yang digantung oleh FIFA.

Baginda menegaskan, peningkatan ketara yang ditunjukkan skuad Harimau Malaya sejak dikendalikan jurulatih Peter Cklamovski membuktikan hala tuju pasukan berada di landasan tepat, terutama dari segi struktur permainan dan pendekatan taktikal.

“Anda yang panggil ia revolusi, saya tak pernah panggil ia revolusi bola sepak tanah air. Saya rasa ia tidak gagal sebab jika anda cakap mengenai struktur bola sepak, anda boleh lihat struktur bawah Peter.

“Pemain tidak keliru, mereka tahu bagaimana nak main dan dari segi taktikal serta teknikal, saya lihat ada peningkatan. Bagi saya, saya akan berjuang untuk pemain sebab mereka adalah rakyat Malaysia dan mereka berhak mewakili negara,” titah baginda pada sidang media di sini, hari ini.

TMJ turut menegaskan komitmen baginda untuk terus memperjuangkan nasib bola sepak Malaysia, meskipun berdepan pelbagai cabaran dan kritikan susulan keputusan FIFA terhadap FAM dan tujuh pemain terbabit.

“Saya akan terus bersama bola sepak Malaysia. Selagi saya mampu membantu, saya akan lakukan,” titah baginda.

Sebelum ini, FIFA mengenakan tindakan tatatertib terhadap FAM dan tujuh pemain kacukan selepas mendapati berlaku kekeliruan dalam beberapa dokumen pendaftaran pemain. Badan induk dunia itu meminta penjelasan lanjut daripada FAM berhubung kesahihan status mereka.

Antara pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel, selepas FIFA mendapati terdapat ketidakselarasan dalam dokumen asal pendaftaran mereka bersama skuad kebangsaan.

Kenyataan TMJ itu dilihat sebagai mesej jelas bahawa usaha memperkukuh struktur bola sepak negara akan diteruskan, dengan fokus terhadap kesinambungan projek pembangunan Harimau Malaya yang semakin menunjukkan kemajuan di bawah kendalian Cklamovski.

Sumber Gambar: Stadium Astro