PENGENDALI PDRM FC, P Maniam, menegaskan bahawa pasukannya harus menikmati detik final pertama MFL Challenge Cup tanpa dibebani sebarang tekanan menjelang pertemuan dengan Selangor FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, pada Sabtu.
Maniam menyeru skuad The Cops untuk mengekalkan corak permainan yang telah dirancang tanpa terlalu memikirkan kelebihan lawan, yang dianggap sebagai pasukan pilihan dalam perlawanan ini.
“Kejayaan mara ke final buat kali kedua berturut-turut adalah pencapaian yang membanggakan kerana bukan mudah untuk sesebuah pasukan melangkah sejauh ini dalam dua musim berturut-turut.
“Saya hanya mahu pemain menikmati perlawanan ini sepenuhnya tanpa tekanan. Mereka sudah sedar bahawa ini adalah peluang kedua berada di pentas akhir.
“Saya yakin mereka akan beraksi dengan semangat juang tinggi serta memberikan yang terbaik apabila diturunkan dalam kesebelasan utama,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, pada Jumaat.
Sebagai rekod, PDRM FC muncul juara Piala Cabaran musim lalu selepas menewaskan Kuching City dengan agregat 4-1, dan kini mereka berpeluang mempertahankan gelaran dengan satu lagi aksi final yang mencabar.