PENJAGA gol meningkat naik, Ahmad Syihan Hazmi percaya jika ada rezeki dia akan dipilih sebagai salah seorang penjaga gol negara untuk kempen Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 yang akan bermula bulan hadapan.

Bercakap kepada media sebelum memulakan hari kedua kem latihan pusat Harimau Malaya, Syihan juga menyatakan bahawa beraksi bersama penjaga gol senior banyak mengajarnya dan sememangnya ianya adalah persaingan yang sihat.

Penjaga gol berusia 26 tahun ini juga gembira kerana dipanggil semula ke kem negara selepas kali terakhir mewakili negara sekitar tahun 2016 dan 2017 bersama pasukan Bawah 23 kebangsaan ketika itu.

“Saya percaya pada rezeki dan juga bergantung kepada jurulatih siapa yang akan dipilih tetapi keempat-empat penjaga gol ini memberikan saingan yang sihat dan banyak memberi tunjuk ajar.

“Beraksi bersama-sama penjaga gol senior ini membolehkan saya mengambil ilmu dengan melihat cara mereka bermain, belajar teknik dan ianya dapat menambah pengalaman saya bersama skuad senior.

“Saya gembira dengan panggilan kali ini dan saya akan berusaha dengan lebih baik serta berharap saya dapat mengekalkan prestasi saya di Liga Super bersama Negeri Sembilan kerana ini semua adalah berkat doa daripada semua,” ujarnya.

Sebagai rekod, Syihan mempunyai tujuh kaps bersama skuad muda negara dan melakukan debut skuad kebangsaan Bawah 22 ketika menentang Bahrain pada 2016.

Skuad Harimau Malaya akan mengadakan dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Brunei pada 27 Mei dan Hong Kong pada 1 Jun 2022 sebagai persiapan menghadapi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023.

Dalam misi untuk layak secara merit ke Piala Asia selepas tempoh 43 tahun, Malaysia akan berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, Bahrain 11 Jun dan Bangladesh 14 Jun 2022 bagi saingan kelayakan Kumpulan E itu.

Kesemua lima aksi skuad Harimau Malaya ini akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.