TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, melontarkan persoalan besar berhubung keputusan mengejutkan FIFA yang menjatuhkan hukuman terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Dalam satu kenyataan di X, beliau mempersoalkan mengapa FIFA tiba-tiba membuat keputusan sedemikian sedangkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menjalankan semua proses dengan penuh kerjasama bersama FIFA dan Kerajaan Malaysia.
TMJ menegaskan bahawa FIFA sebelum ini telah memberi kelulusan terhadap pendaftaran pemain berkenaan, dan persoalan timbul mengapa keputusan berubah pada tahap akhir ini. Beliau turut mempersoalkan sama ada terdapat campur tangan entiti luar yang mempengaruhi perubahan keputusan tersebut, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap integriti proses.

“Satu lagi persoalan ialah hukuman telah dijatuhkan tanpa memberi sebab-sebab yang jelas. Tambahan pula, FIFA bertindak pantas mengumumkan keputusan itu dalam domain awam walaupun proses rayuan masih belum selesai,” tegas TMJ.
Beliau turut menegaskan rasa ingin tahu tentang siapa yang hadir dalam mesyuarat FIFA di New York yang membawa kepada keputusan ini.
TMJ menyeru agar FAM mengambil langkah segera untuk membuat rayuan bagi mempertahankan nama baik skuad Harimau Malaya.
“Saya berharap FAM akan membuat rayuan secepat mungkin. Ini adalah surat pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara. Takkan kita takut dan nak tunduk dengan individu-individu yang khuatir dengan kebangkitan Harimau Malaya,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan skuad Harimau Malaya tidak boleh dipadamkan oleh keputusan yang dipertikaikan.
“Lawan tetap lawan. Berani kerana benar,” tambah TMJ sebagai mesej tegas kepada semua pihak yang terlibat dalam kontroversi ini.
Kenyataan TMJ bukan sahaja membuka ruang kepada perdebatan hangat dalam arena bola sepak tempatan, tetapi juga menimbulkan tanda tanya besar terhadap kredibiliti FIFA dalam menangani kes berprofil tinggi seperti ini. Isu ini berpotensi memberi impak bukan sahaja kepada pasukan kebangsaan, tetapi imej bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa.