KELAB Kuala Lumpur City (KL City) FC didenda hukuman RM2,500 atas kesalahan bacaan lux lampu limpah Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras yang tidak menepati piawaian yang ditetapkan iaitu minima 1200 lux.

Kesalahan itu dikesan apabila hanya dua lokasi pencahayaan lampu limpah yang melepasi piawaian telah ditetapkan manakala 13 belas lokasi berada di bawah tahap yang ditetapkan semasa aksi Liga Super berdepan PJ City FC pada 16 Julai lepas.

Stanley Bernard Stephen Samuel

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Footbal League (MFL), Kevin Ramalingam dalam satu kenyataan bertarikh 18 Julai yang merujuk kepada Ketua Pegawai Eksekutif KL City FC, Stanley Bernard Stephen Samuel mengingatkan perkara ini tidak berulang pada perlawanan seterusnya.

“Ini merupakan denda kali pertama dan denda berganda akan dikenakan bagi kesalahan yang sama seterusnya,” katanya.

FLASH SUKAN pada 13 Julai melaporkan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) kecewa dengan isu pajakan penyelenggaraan stadium berkenaan dan mahu isu ini diselesaikan segera dan bersedia mengambil alih tugasan ini.

Ini kerana menurut KLFA, pihak ketiga yang dipertanggungjawab untuk menyelenggara stadium dan fasiliti gagal berbuat demikian dan hampir memalukan imej negara di kejohanan Piala AFC tempoh hari.

Malah, syarikat swasta itu gagal dan KLFA sendiri terpaksa bertindak sendiri hingga membolehkan Piala AFC diadakan.

Keadaan lampu limpah masih belum memuaskan dengan pencahayaan hanya 1200 lux sahaja berbanding 1400 lux yang mereka mahukan.