RAMADAN tahun ini cukup istimewa buat naib juara remaja dunia, Aira Azman, kerana buat pertama kali bakal berdepan kakaknya, Aifa Azman di pentas antarabangsa.
Aira, 20, kini berada di ranking ke-44 dunia berkata, menentang kakaknya sendiri di kejohanan antarabangsa bukanlah sesuatu yang dialu-alukan namun yakin ianya akan membawa perseteruan menarik.
“Saya akan beraksi di Australia hujung bulan ini tapi sayangnya, saya berada dalam undian menentang kakak (Aifa) di pusingan kedua jika layak.
“Ini adalah perlawanan pertama kami di kejohanan tapi saya yakin pasti menarik kerana kami sering berlatih bersama, masing-masing kenal dan tahu kelemahan dan kekuatan… saya menantikan perlawanan menarik antara kami,” kata Aira, yang akan menyertai Aifa ke Kejohanan Kumpulan City Tattersalls Terbuka Australia, yang akan berlangsung 20 hingga 24 Mac ini.

Aira Azman ketika menerima anugerah WCE SRAM sebagai Pemain Remaja Terbaik Wanita 2024.
Pada kejohanan terbabit, Aira akan membuka saingan pusingan pertama menentang pemain Singapoura, Wai Yhann Au Yeong, sebelum berdepan Aifa di ranking ke-34 dunia, yang mendapat bye di pusingan pertama.
Menurutnya, Terbuka Australia itu menjadi sebahagian daripada persiapannya yang mahu fokus kepada Kejohanan Dunia di Mesir, sembilan hingga 17 Mei depan.
“Ya, Aira nak beraksi di Kejohanan dunia… setakat ini, ranking Aira memang layak ke kejohanan itu, jadi Aira mahu sekurang-kurangnya mempertahan kedudukan ranking ini.
“Dalam masa sama, Aira nak cuba mengejutkan pemain dalam kelompok Top 20, Aira nak berada dalam undian utama Kejohanan Dunia, jika boleh, Aira mahu disenaraikan sebagai pemain pilihan,” ujarnya.

Empat pemain terbaik skuasy wanita negara ketika ini. Dari kiri, S Sivasangari di ranking ke-15 dunia, Aifa Azman (34), Rachel Arnold (27) dan Aira Azman (44).
Sebagai persiapan, Aira berkata, dia bersama skuad skuasy negara akan menjalani latihan sebelah petang, sebelum berbuka puasa.
Tambah pemain muda itu lagi, pengalaman kali pertama beraksi pada saingan Kejohanan Dunia sernior di Chicago, Amerika Syarikat (AS) tahun lalu, membuka matanya selepas fokus sebagai pemain profesional sepenuhnya, tahun ini.
“Di Kejohanan Dunia nanti, memang realistiknya sukar untuk memburu gelaran, sasaran utama Aira adalah melakukan kejutan ke atas pemain Top 20, Aira nak tewaskan mereka satu persatu, tapi biar mengikut proses dan masa yang sesuai,” katanya lagi.