SELAMAT datang ke Malaysia, Peter Cklamovski, jurulatih baharu Harimau Malaya!

Kami, para pencinta bola sepak Malaysia, menyambut kehadiran anda dengan penuh semangat dan harapan tinggi. Anda kini membawa harapan jutaan rakyat Malaysia untuk melihat kebangkitan bola sepak negara di pentas antarabangsa.

Dengan pengalaman luas anda sebagai bekas jurulatih skuad kebangsaan Australia dan kelab terkemuka seperti Yokohama F. Marinos dan Tokyo FC, kami yakin pendekatan permainan anda yang berteraskan ‘high pressing, permainan pantas, dan serangan agresif’ mampu mengubah dinamik pasukan kebangsaan.

Tambahan pula, sifat ketegasan dan penekanan anda terhadap disiplin pemain adalah kunci untuk membentuk pasukan yang kukuh dan berdaya saing.

Namun, perlu diakui, tugas ini tidak mudah. Harapan peminat bola sepak Malaysia cukup tinggi. Kami mahukan pasukan Harimau Malaya mencapai beberapa pencapaian penting dalam masa terdekat, antaranya:

1. Kelayakan ke Piala Asia 2027 – satu impian yang mesti menjadi realiti.

2. Menjadi juara di peringkat ASEAN dan mengatasi gergasi serantau seperti Thailand, Vietnam, dan Indonesia secara konsisten.

3. Mendaki ranking dunia di bawah 100, yang sudah lama menjadi sasaran kami.

4. Membentuk pasukan yang seimbang dan berdaya saing, dengan kedalaman skuad yang mampu bertahan dalam mana-mana kejohanan.

Pemain muda Harimau Malaya juga sedang berkembang baik.

Kami juga berharap coach dapat memberi lebih peluang kepada pemain muda untuk berkembang dan menyumbang kepada pasukan kebangsaan. Pemain-pemain ini perlu memiliki jiwa patriotik yang tinggi, mengutamakan negara berbanding kelab, dan berjuang sepenuh hati demi mengharumkan nama Malaysia.

Selain itu, ‘pemantapan aspek psikologi pemain’ sangat penting untuk memastikan mereka memiliki daya tahan mental yang kukuh dalam menghadapi tekanan dan cabaran.

Kami percaya, dengan pendekatan yang progresif dan perancangan yang rapi, anda mampu mengatasi pencapaian Kim Pan Gon, sekali gus menerapkan gaya permainan berpasukan yang penuh semangat patriotik. Sebagai penyokong setia, kami juga ingin menekankan bahawa kami anti taktikal long ball.

Gaya permainan kuno ini bukanlah sesuatu yang kami ingin lihat lagi dalam pasukan Harimau Malaya. Kami percaya anda memahami kehendak peminat Malaysia yang mahukan permainan yang terancang, menyerang, dan penuh kreativiti.

Namun begitu, kami juga sedar bahawa ‘Kota Rome tidak dibina dalam masa sehari’. Kami faham bahawa perubahan besar seperti ini memerlukan masa, dedikasi, dan usaha yang konsisten.

Kami mungkin telah lama muak dengan corak permainan yang lama dan ketinggalan, tetapi kami tetap bertekad untuk menyokong perubahan positif bola sepak Malaysia. Kami tahu ianya bukan mudah, dan kami berjanji untuk bersabar demi melihat Harimau Malaya kembali bangkit di persada dunia.

Selain itu, terima kasih juga kepadaTunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, atas sokongan dan usaha baginda yang terus menyumbang kepada pembangunan bola sepak Malaysia. Dengan gabungan tenaga dan kepimpinan baharu, kami percaya masa depan Harimau Malaya akan lebih cerah dan penuh potensi.

Akhir kata, coach Peter, selamat datang dan selamat memulakan misi menyelamatkan Harimau Malaya daripada terus berada dalam keadaan tidak menentu. Kami berdiri teguh di belakang anda, menyokong setiap langkah perubahan dan strategi yang bakal anda terapkan. Semoga strategi dan visi anda membawa pasukan ini ke tahap yang lebih tinggi.

Best wishes to the new coach of Malaysia football team!’ Semoga anda berjaya membawa kebanggaan kepada negara ini dan menyatukan rakyat Malaysia melalui sukan yang kami cintai ini.

 

Nukilan,

Pengerusi Komiti Etika dan Integriti Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf), Jais Abdul Karim

Mewakili suara penyokong Malaysia.