BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah hampir meraih kejuaraan pertama kejohanan Super 1,000 pertama, di Terbuka Indonesia namun tuah tidak bersama mereka yang bertaring selama 87 minit di Istora, Senayan.

Kematangan dalam perlawanan, ketika mendahului dan ketinggalan, kedua-duanya situasi genting namun diselesaikan dengan tenang, setenang mereka berdepan kritikan di media sosial.

Pearly menegaskan tidak semua kritikan yang dilemparkan kepada dirinya serta rakan gandingan, Thinaah sepanjang mengharungi empat kejohanan dalam tempoh sebulan sebelum ini adalah benar.

“Bulan ini, kami mengharungi perjalanan ini dengan beban harapan dan kritikan sepanjang kejohanan. Tidak semua yang dikatakan mengenai kami itu benar, tetapi kami memilih untuk tidak membalas dengan kata-kata sebaliknya dengan kerja keras, ketabahan dan kebersamaan. Ia bukan mudah, tetapi kami tetap berdiri teguh, saling menyokong dan memberikan segala-galanya yang kami ada,” kata Pearly di akaun Instagram miliknya.

FOTO|FB Pearly Tan

Ketika kontrak bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dilaporkan berakhir Disember lalu masih dalam proses rundingan, pasangan itu berjaya mengasingkan masalah itu demi kepentingan dalam gelanggang.

Menurut Pearly, keempat-empat kejohanan itu, bermula dengan Terbuka Thailand, Masters Malaysia, Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia benar-benar menguji ketahanan mental mereka berdua.

FOTO|FB Pearly Tan

Pearly-Thinaah muncul juara di Terbuka Thailand bulan lalu, sebelum mara sehingga ke separuh akhir Masters Malaysia dan kandas di suku akhir Terbuka Singapura.

Semalam, pasangan negara itu terlepas peluang untuk melakar sejarah muncul juara kejohanan bertaraf Super 1000 buat kali pertama selepas tewas 25-23, 12-21, 19-21 di tangan pasangan nombor satu dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning pada aksi final.